Sorting by

×

Pancing ikan pari, pesara tentera bawa pulang RM25,000

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PANTAI KUNDOR 26 Disember – Ucapan bismillah di bibir setiap kali membuat lontaran umpan menjadi azimat ‘rahsia’ seorang pesara tentera yang dinobatkan johan pertandingan memancing MegaSurf Pantai Puteri 2023, pada Ahad.

Razali Mohd Taib yang berasal dari Cheng sama sekali tidak menyangka umpan udang hidup yang dilabuhkannya sebaik siren permulaan dibunyikan pada pertandingan memancing itu disambar ikan pari seberat 2.455 kilogram (kg), sekali gus muncul ikan terberat dan melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000.

Katanya, sejak berkecimpung dalam arena memancing lebih 20 tahun lalu, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk bergelar juara, namun dirinya percaya pada rezeki dari Allah SWT.

“Alhamdulillah rezeki ini dari Allah SWT, mungkin ini rezeki untuk saya dan keluarga. Saya menyertai pertandingan memancing ini hanya untuk berusaha dan selebihnya datang dari yang Maha Esa.

“Kalau diikutkan, setiap tahun saya akan berbelanja ribuan ringgit untuk menyertai pertandingan memancing kerana ini adalah hobi saya sejak dahulu lagi.

“Saya pernah empat kali bergelar juara sebelum ini, namun kali ini adalah hadiah yang terbesar pernah saya terima,” katanya kepada pemberita selepas tamat pertandingan.

Terdahulu, Razali menerima hadiah tersebut yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut menyempurnakan upacara perasmian penutup pertandingan berkenaan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dan lain-lain kenamaan.

Pada pertandingan itu, seramai lebih 1,200 kaki pancing seluruh negara ‘berkampung’ di Melaka bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000 yang ditawarkan.

Tempat kedua menjadi mililk peserta dari Kelantan Mohd Marzuki Syafie yang menaikkan ikan kurau seberat 1.170kg dan tempat ketiga milik peserta dari Muar, Johor Fazrin Aziz Abd Aziz dengan tangkapan pari 0.805kg.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 dan RM4,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1823
Kongsi :
Previous post Kapal dari Cameroon ditahan di perairan Kuala Linggi
Next post Dua suspek kes tikam direman tujuh hari
Ubah saiz-+=