Pameran Hang Tuah berjaya tarik lebih 10,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Pameran Hang Tuah yang berlangsung di Hall A Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, setakat ini.

Pameran yang bermula 10 Jun hingga 7 Julai depan membawa orang ramai menerokai penemuan-penemuan baharu yang memperkukuh kewujudan pahlawan legenda itu suatu masa dahulu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga kini Pameran Hang Tuah juga berjaya menarik penyertaan 1,200 orang pelajar dan 75 guru dari 23 sekolah di sekitar Daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Selain itu, menurut beliau, pameran berkenaan turut mendapat perhatian beberapa artis ternama seperti Remy Ishak, Zul Huzaimy dan Fattah Amin.

“Pameran ini bukan sekadar mempersembahkan sejarah, tetapi juga bertujuan memupuk jati diri generasi muda dengan semangat Hang Tuah yang tidak pernah pudar.

“Bersiap sedialah untuk sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). Tiada di tempat lain, Mana Lagi? Melaka Ler…,” kata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri.

Pameran Hang Tuah dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 6 petang, kecuali Jumaat hingga Ahad yang dilanjutkan waktu sehingga jam 10 malam.

Tiket masuk bagi dewasa ialah RM15 (Pemegang MyKad); warga emas dan kanak-kanak RM5.00; manakala pelancong asing dewasa RM20 dan pelancong kanak-kanak RM10.

Manakala, harga tiket bagi penyertaan pelajar sekolah secara berkumpulan juga hanya RM100 membabitkan 40 pelawat.

Pameran berkenaan dibahagikan kepada beberapa ruang galeri mengenai pengkisahan riwayat hidup, keperibadian, koleksi manuskrip, dan artifak yang dikongsikan dari dari Kepulauan Bentan, Singapura dan Pattani, termasuk keris 9 lokasi dari muzium Okinawa, Jepun, dan dokumen Rekidai Hoan dari kerajaan Ryukyu.

Terokai juga sejarah Laksamana Hang Tuah dan dapatan kajian terkini yang mengukuhkan kewujudan beliau melalui sumber-sumber baharu yang ditemui dari serata dunia seperti Belanda, Jepun, India, Portugal, China, Indonesia, dan Thailand.

Pengunjung juga berpeluang melihat replika meriam terbesar zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu ‘Peca de Malacca” yang ditemui di Muzium Militari Lisbon, Portugal, selain paparan zon interaktif yang menampilkan Silat Hang Tuah, artifak, manuskrip dan filem mengenai kehebatan Laksamana Hang Tuah yang dipentaskan di India.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

617
Kongsi :
Previous post Dokumentari Hang Tuah sebagai tokoh diplomat akan diterbitkan
Next post Fattah Amin sedia dalami watak Hang Tuah
Ubah saiz-+=