Pameran Hang Tuah akan dilanjutkan

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Julai – Pameran Hang Tuah yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula 10 Jun hingga 7 Julai bakal dilanjutkan sebulan lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelanjutan itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menghayati penemuan-penemuan baharu mengenai Hang Tuah hasil kajian yang telah dijalankan di beberapa negara.

“Pameran Hang Tuah ini akan berlangsung lagi sebulan setengah kerana saya melanjutkannya berikutan permintaan daripada ramai pihak di seluruh negara.

“Ramai yang berminat untuk datang dan melihat kajian yang dijalankan sama ada Hang Tuah satu mitos, dongeng atau legenda dan terbukti Hang Tuah adalah seorang legenda pahlawan Melayu disegani suatu masa dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kembara Sejarah ProBEST@AG 2024 Daerah Alor Gajah Peringkat Parlimen Masjid Tanah di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu serta lain-lain kenamaan.

Untuk rekod, Pameran Hang Tuah dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 6 petang, kecuali Jumaat hingga Ahad yang dilanjutkan waktu sehingga jam 10 malam.

Tiket masuk bagi dewasa ialah RM15 (Pemegang MyKad); warga emas dan kanak-kanak RM5.00; manakala pelancong asing dewasa RM20 dan pelancong kanak-kanak RM10.

Manakala, harga tiket bagi penyertaan pelajar sekolah secara berkumpulan juga hanya RM100 membabitkan 40 pelawat.

Pameran berkenaan dibahagikan kepada beberapa ruang galeri mengenai pengkisahan riwayat hidup, keperibadian, koleksi manuskrip, dan artifak yang dikongsikan dari dari Kepulauan Bentan, Singapura dan Pattani, termasuk keris 9 lokasi dari muzium Okinawa, Jepun, dan dokumen Rekidai Hoan dari kerajaan Ryukyu.

Terokai juga sejarah Laksamana Hang Tuah dan dapatan kajian terkini yang mengukuhkan kewujudan beliau melalui sumber-sumber baharu yang ditemui dari serata dunia seperti Belanda, Jepun, India, Portugal, China, Indonesia, dan Thailand.

Pengunjung juga berpeluang melihat replika meriam terbesar zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu ‘Peca de Malacca” yang ditemui di Muzium Militari Lisbon, Portugal, selain paparan zon interaktif yang menampilkan Silat Hang Tuah, artifak, manuskrip dan filem mengenai kehebatan Laksamana Hang Tuah yang dipentaskan di India.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

678
Kongsi :
Previous post Geng curi kereta mewah ‘K-Boy’ tumpas
Next post Wanita maut, remaja lelaki parah motosikal bertembung
Ubah saiz-+=