Pameran aset Sultan Ibrahim antara tarikan Melaka Bike Week 2024 Jun depan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DURIAN TUNGGAL 11 Mei – Pameran koleksi kenderaan milik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menjadi antara tarikan dalam penganjuran Melaka Bike Week 2024 pada 14 hingga 16 Jun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri telah menerima perkenan daripada Seri Paduka Baginda untuk menyertai penganjuran itu dengan mempamerkan asetnya kepada pengunjung yang hadir.

Beliau berkata, pelbagai aset yang dibawa masuk ke negeri ini pada festival yang diadakan besar-besaran itu sekali gus mampu menggamit pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Melaka telah menerima perkenan daripada Sultan Ibrahim untuk mempamerkan aset-aset yang dipilih kepada rakyat.

“Pelbagai aset akan dipamerkan termasuk koleksi kenderaan yang mempunyai nilai sejarahnya tersendiri pada festival yang berlangsung di dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 14 hingga 16 Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Melaka International Motorfest & Scooterfest (MotoXFest) di Melaka International Motorsport Circuit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri; VP Shanmugam.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Zahari Abd Kalil; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd, Masrul Faizal Muhamad.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, festival yang berlangsung itu akan mengumpulkan ratusan ribu peminat dunia permotoran termasuk motosikal berkuasa tinggi, sederhana, klasik dan sebagainya dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Superbikers Association Malaysia (SAM).

“Pelbagai aktiviti akan diadakan dan pengunjung yang bertuah bakal membawa pulang sebuah kereta Proton X70 dalam acara cabutan bertuah yang diadakan pada penganjuran tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post JPJ lancar nombor plat FFF, sasar kutip RM20 juta
Next post Melaka ‘juara’ tahun melawat negeri 2024
Ubah saiz-+=