PAMERAN AEROANGKASA DI MINGGU SAINS NEGARA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 24 Oktober – Pameran industri aeroangkasa antara kelainan yang dibawakan sempena Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Melaka 2024 dijadualkan berlangsung di Dewan Taming Sari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Alor Gajah pada 28 dan 29 Oktober ini.

Pengarah Projek Minggu Sains Negara, merangkap Penyelaras Inovasi Paten dan Pengkomersilan UiTM Cawangan Melaka, Aini Qamariah Mohd Yusof berkata, pameran itu bertujuan untuk merangsang minat dan mengajak orang ramai meneroka teknologi aeroangkasa terkini.

“Pelbagai pengisian yang kami atur sempena MSN termasuk pameran berkenaan industri penerbangan yang dikendalikan Kelab Rakan Udara Malaysia. Orang ramai khusus murid dan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi dipelawa untuk bersama-sama hadir memeriahkan sambutan ini nanti.

“Mereka berpeluang mempelajari teknik reka bentuk, pengembangan, pengeluaran, penyelenggaraan pesawat dan sistem berkaitan,” katanya ketika bersiaran dalam Podcast Mana Lagi? Melaka Ler! di Studio Melaka TV, semalam.

Mengulas lanjut, Aini Qamariah berkata, MSN kali ini melibatkan 24 pempamer yang akan mengetengahkan tentang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Semua pempamer terlibat ini perlu menyediakan bahan-bahan berunsurkan sains dan teknologi. Insya-Allah hari perasmian MSN adalah pada 29 Oktober dijangka turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post MARTABATKAN JASA PETANI
Next post POLIS TAHAN LELAKI LANGGAR LARI PELAJAR DALAM SEKOLAH
Ubah saiz-+=