Pakej rangsangan ekonomi Melaka antara tertinggi dalam negara
SERI NEGERI 29 Jun – Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021 Sejahtera Bersama yang diumumkan 18 Jun lalu bukan sahaja bersifat inklusif dan komprehensif untuk membantu rakyat dan sektor terkesan, bahkan antara pakej rangsangan dengan nilai tertinggi diumumkan dalam negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pakej rangsangan bernilai RM174.53 juta itu menjadi antara yang tertinggi selepas mengambil kira nisbah penduduk Melaka iaitu sekitar 932,000 orang.
Jelasnya, jika dibahagikan nilai peruntukan dengan jumlah penduduk, dianggarkan nisbah bantuan pakej yang diberikan itu ialah bernilai sekitar RM184 bagi setiap rakyat negeri ini.
“Walaupun kita tidak mencapai satu juta penduduk, kita berupaya memberikan pakej rangsangan yang tertinggi berbanding sesetengah negeri lain.
“Jumlah itu memang tinggi, tetapi ia dibuat berdasarkan keyakinan dan kebolehupayaan kewangan negeri, ibaratnya kita mengukur baju di badan sendiri dan kita laksanakan.
“Alhamdulillah lebih RM174 juta itulah kekuatan kewangan yang mampu kita berikan pulangan dan tawaran kepada rakyat dalam usaha membantu mereka yang terjejas, selain sebagai persediaan untuk memulihkan ekonomi negeri Melaka,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di pejabatnya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, besar harapannya ingin memastikan kesemua 60 inisiatif dan bantuan yang digariskan dalam pakej rangsangan itu 100 peratus sampai kepada golongan sasar ditetapkan.
Justeru, beliau meminta semua pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan negeri memainkan peranan yang cukup berkesan dalam memastikan tiada rakyat terpinggir daripada menerima bantuan.
“Nobody left behind! Kita perlu pastikan semua golongan sasar dibantu tanpa ada yang terpinggir kerana kita sendiri tidak tahu sampai bila wabak ini akan berakhir,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.