Pakej Pintar Niaga Lazada buka peluang buat usahawan terjejas
AYER KEROH 15 Julai – Kerajaan negeri Melaka dan Lazada bekerjasama menyediakan laman ‘Melaka E-Bazar’ bagi mempromosikan produk pelancongan dan hospitaliti tempatan menerusi kempen ‘Buy Now, Travel Later’.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, kempen bermula 7 Julai lalu hingga 30 September depan diadakan sempena Sambutan Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO Ke-13.
Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan di bawah insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama untuk membantu usahawan dan pemain sektor pelancongan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Ia juga sebahagian saranan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bagi meningkatkan sinergi serta kerjasama antara pemain industri dan perkhidmatan pelancongan untuk memasarkan produk mereka ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di dunia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sulaiman berkata, kempen itu bertujuan merancakkan semula aktiviti ekonomi dengan jangkaan penyertaan oleh lebih 1,000 usahawan tempatan yang terkesan pandemik dan dipasarkan menerusi Pakej Pintar Niaga tanpa sebarang kos kepada peserta.
Katanya, pelbagai tawaran hebat ditawarkan merangkumi tempat tarikan pelancongan popular termasuk pakej percutian, pakej penginapan hotel dan inap desa serta pelbagai produk tempatan negeri ini.
“Pengguna Lazada boleh membeli baucer percutian itu melalui Melaka E-Bazar dengan tarikh terbuka iaitu tempoh sah laku selama setahun sehingga 2022.
“Ia sebagai persiapan bagi menempah percutian dan penginapan yang boleh digunakan apabila sekatan pelancongan dilonggarkan kelak.
“Mulai 1 Ogos depan setiap pengguna Lazada juga boleh menikmati penjimatan dengan mengumpulkan baucar diskaun dengan potongan hingga 50 peratus di laman ‘Melaka E-Bazar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Sulaiman menyifatkan kerjasama Kerajaan negeri Melaka dengan platform beli-belah dalam talian itu tepat pada masanya bagi memacu semula industri pelancongan Melaka dan Malaysia.
“Kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dengan Lazada memang tepat pada masanya kerana industri pelancongan Malaysia dan Melaka mengalami impak yang besar akibat pandemik ini.
“Dengan memanfaatkan pelanggan Lazada di seluruh negara, kempen ini akan membantu menjana aliran tunai yang mampan kepada perniagaan di Melaka dan seterusnya dapat memberikan kelegaan kepada usahawan dan penggiat industri pelancongan negeri Melaka,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan usahawan tempatan digalakkan mengambil kesempatan yang ditawarkan di bawah insentif rangsangan Pakej Pintar Niaga Lazada.
Beliau berkata antara insentif disediakan ialah pengecualian yuran penyenaraian, kemudahan mengikuti latihan langkah demi langkah menyeluruh di Lazada University, alat inovatif Seller Centre (Pusat Penjual), kredit iklan RM300 secara percuma, slot pendedahan tinggi selama sebulan, penghantaran percuma dan sokongan khas 90 hari.
“Kami bertekad untuk memainkan peranan kami dalam menyokong perniagaan tempatan Malaysia dalam suasana mencabar ini, terutamanya industri pelancongan yang terjejas akibat COVID-19.
“Pelancaran kempen ‘Buy Now, Travel Later’ semasa kempen ‘Unexpected Mid-Year Sale’ Lazada akan membantu perniagaan di Melaka memanfaatkan kunjungan yang meningkat di Lazada untuk capaian pelanggan yang optimum,” katanya.
Menurutnya, Pakej Pintar Niaga yang ditawarkan boleh membantu PMKS tempatan membuka gedung dalam talian tanpa sebarang kos dan mereka dialu-alukan untuk mendaftar sebagai penjual baharu di Lazada menerusi http://lzd.co/SellOnLazadaMY.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.