
PAKEJ GAMBAR RAYA ‘RAHMAH’ DI JAPERUN DUYONG
DUYONG 31 Mac – Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menawarkan pakej Rahmah ‘Gambar Raya Duyong Kita’ serendah RM69 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif tersebut diadakan selama tiga hari iaitu bermula hari ini hingga hari raya ketiga, di mana ia merupakan anjuran Persatuan Fotografi Arena Melaka bersama Japerun Duyong dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains,Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, inisiatif tersebut wajar direbut untuk mereka yang mahu merakamkan gambar bersama keluarga tercinta dengan harga yang sangat berbaloi.
“Menerusi pakej ini sebenarnya, pihak japerun hanya memberikan penggunaan dewan secara percuma kepada penganjur meskipun aktiviti berteraskan perniagaan. Sebagai ganti perkhidmatan ini mestilah di bawah harga pasaran.
“Setakat diketahui ini lah harga yang paling murah. kita menawarkan tiga pakej, yang mana serendah RM69 untuk Pakej A; Pakej B RM159 dan Pakej C RM299.
“Pelanggan yang datang ada pilihan, terdapat tiga jenis set latar belakang studio yang akan diadakan di Japerun Duyong bermula hari raya pertama hingga hari raya ketiga dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Jadi jangan lepaskan peluang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata orang ramai turut berpeluang untuk menerima hadiah istimewa daripada beliau untuk setiap pakej yang dipilih.
“Walaupun ada yang akan pilih set RAHMAH RM69 sehingga set RAHMAH RM299 pun mereka akan menerima hadiah istimewa daripada saya.
“Setiap pakej mempunyai slot yang terhad, jadi saya harap orang ramai boleh hubungi penganjur bersama untuk menempah slot segera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.