Sorting by

×

Pakar pelbagai bidang harus rangka program khas pasca bencana – Tuanku Mukhriz

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KUALA PILAH, 14 Jan – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah supaya pakar dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, akademik dan agama, bekerjasama merangka program khas pasca bencana bagi membantu masyarakat mengatasi kesan emosi negatif, sekali gus mengukuhkan semula semangat serta kesihatan minda.

Baginda bertitah ini kerana bencana dan musibah yang melanda menyebabkan perubahan luar biasa berlaku secara mendadak dalam kehidupan dan persekitaran yang tidak harus dipandang remeh.

“Kesannya boleh membawa kepada tekanan perasaan, fobia, kegelisahan dan kemurungan dengan mereka yang menghadapi masalah seperti ini perlu melalui program berbentuk sokongan emosi dan kaunseling,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan Ke-74 baginda di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini, hari ini. Turut berangkat ke majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Titah baginda COVID-19 dari sisi berbeza sebenarnya membuka ruang kepada Kerajaan Negeri Sembilan untuk merancang dan menyusun semula strategi pembangunan berdasarkan keperluan serta keutamaan supaya dapat memulih serta mensejahtera semula kehidupan rakyat.

Baginda bertitah kehadiran tahun baharu juga pasti membawa harapan yang bakal memacu sinar perubahan, meredakan keresahan serta mengembalikan keyakinan masyarakat, setelah seisi warga Malaysia dan dunia, lelah menghadapi kemelut pandemik COVID-19.

“Pandemik ini bukan sahaja menyebabkan ramai yang kehilangan punca pendapatan sehingga menjejaskan kehidupan seharian malah ada dalam kalangan rakyat beta yang kehilangan nyawa. Justeru, beta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia,” titah baginda.

Baginda seterusnya mengingatkan semua pihak supaya tidak leka kerana ancaman COVID-19 masih ada dan semua pihak harus terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar jangkitan pandemik itu dapat dihentikan.

Tuanku Muhriz bertitah meskipun masih bertungkus lumus menangani isu pandemik dan pemulihan pasca COVID-19, kerajaan negeri berjaya menguruskan keperluan dan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat banjir luar biasa pada Disember lepas sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda dengan kerjasama sukarelawan, pihak swasta dan orang ramai.

Seramai 410 individu hari ini menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-74 baginda hari ini dengan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain mendahului senarai penerima, dan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung dalam tiga sesi dengan sesi pertama pada hari ini melibatkan 107 penerima, sesi kedua pada 22 Jan dan sesi ketiga pada 27 Jan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Kongsi :
Previous post E-Sukan UTeM bukti pencapaian terbaik universiti
Next post Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti di Melaka perlu bantu majukan kemahiran OKU
Ubah saiz-+=