Pakar pastri PMM ke Switzerland
MERLIMAU 26 September – Pelajar Politeknik Merlimau (PMM), Muhammad ‘Adziem Wazi dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan Worldskills Competition (WSC) 2022 Special Edition dari 7 hingga 17 Oktober ini di Lucerne, Switzerland.
Pelajar semester tiga Diploma Seni Kulinari PMM itu mengambil bahagian dalam pertandingan ‘Patisserie dan Confectionary’.
Dia diberi kepercayaan mewakili Malaysia ke pertandandingan berprestij dunia itu selepas beberapa siri kejayaan diraih sebelum ini.
“Syukur alhamdulillah Kementerian Sumber Manusia (KSM) memilih saya sebagai salah seorang peserta mewakili negara pada pertandingan ini, ia secara tidak langsung dapat mengharumkan nama PMM.
“Pemilihan ini adalah berdasarkan rekod prestasi saya sebelum ini yang pernah memperolehi beberapa kejayaan,” katanya kepada MHI,” katanya.
Anak jati kelahiran Baling, Kedah ini sedang melakukan persediaan dengan mengikuti latihan intensif bidang pastri bagi memastikan dirinya bersedia mengalas tanggungjawab mewakili negara pada Oktober depan.
“Terima kasih kepada Pengarah PMM, Norizam Sekak selain Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PMM, Zaharizuan Azhar kerana memberi kata-kata semangat,” katanya.
Muhammad ‘Adziem sebelum ini pernah merangkul kemenangan pada Pertandingan MyCCskills Inovasi dan Rekacipta Pelajar Tahun 2018, Finalis WorldSkills Malaysia Belia 2019 bidang Pastry dengan memperolehi Pingat Perak, Pembantu Training WorldSkills Kazan 2019 dan peringkat kelayakan WSC Shanghai 2021 pada November lalu.
Sementara itu, Norizam berkata pemilihan Muhammad ‘Adziem dianggap sebagai kejayaan besar buat PMM kerana melahirkan seorang pelajar mewakili negara bagi kepakaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Alhamdulillah, saya melihat Muhammad ‘Adziem bukan saja berbakat dan berkemahiran, tetapi mempunyai personaliti menarik.
“Saya mendoakan agar dia berjaya membawa kejayaan besar sempena WSC Special Edition kali ini,” katanya.
Terdahulu majlis flagg off telah disempurnakan Norizam yang turut dihadiri Pensyarah PMM, Hasnida Khairudin (Pensyarah Diploma Kulinari PMM).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.