Sorting by

×

Pakar bius maut kemalangan di Batu Pahat

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BATU PAHAT 22 Mei – Seorang doktor pakar anestesia dan penjagaan kritikal di Hospital Pantai Batu Pahat di sini, maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Km 2, Jalan Kluang-Batu Pahat, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata dalam kejadian 9 pagi itu, Dr Noor Zairul Muhamad, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu MPV cedera di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Pantai Batu Pahat untuk rawatan lanjut.

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa dari dalam keretanya di lokasi kejadian. Foto- JBPM Johor.

“Berdasarkan siasatan awal, kereta jenis Porsche Coupe yang dipandu doktor berkenaan dari arah Batu Pahat menuju ke Sri Gading, hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di batu penghadang tengah jalan.

“Kereta terbabit kemudiannya terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah MPV jenis Toyota Vellfire yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulle Idris berkata sebaik menerima panggilan kecemasan, 16 anggota dengan beberapa jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian.

KEADAAN kereta Porsche Coupe dan Toyota Vellfire yang terbabit kemalangan jalan raya. Foto- JBPM Johor.

“Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada polis dan petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada 10.23 pagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1453
Kongsi :
Previous post Kapal tangki cuba lolos dari tahanan dipintas Maritim Malaysia
Next post Muhyiddin kupas isu COVID-19, pelaksanaan PKP dalam temu bual eksklusif Bernama TV, RTM
Ubah saiz-+=