Pakaian terpakai, kualiti terjamin
JASIN 3 April – Memasuki tahun kelima, tradisi Kongsi Rezeki Ramadan yang dianjurkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus memberi manfaat buat golongan yang memerlukan.
Bukan sahaja mengagihkan bantuan barangan asas seperti beras malah usaha yang dijalankan bersama Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Cawangan Jasin, turut menawarkan pakaian terpakai.
Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, meskipun dikategorikan sebagai terpakai namun pakaian berkenaan masih dalam keadaan baik dan berkualiti.
Katanya, Program Kongsi Rezeki Ramadan berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini.
“Sambutan untuk pakaian terpakai ini amat menggalakkan bukan sahaja pihak yang menyumbang tetapi mereka datang mendapatkan pakaian. Untuk hari ini (semalam) lebih 200 helai baju yang kita terima termasuk kasut juga.
“Untuk tidak menghampakan mereka yang memerlukan setiap pakaian diterima akan diperiksa, seperti keadaan zip agar dalam keadaan sempurna.
“Difahamkan kira-kira 80 keluarga sudah hadir dan memilih pakaian yang mereka mahukan termasuklah dari Durian Tunggal. Apa yang menariknya sampin laku bagaikan goreng pisang panas,” katanya ketika ditemui pada Program Kasihmu Ramadan, Mewarnai Syawal Bersama Anak Yatim di sebuah gedung membeli belah di Jasin Bestari, semalam.
Menurutnya, mereka yang ingin menyumbang masih lagi boleh berbuat demikian kerana permintaan amat menggalakkan.
“Apa yang boleh saya katakan, mereka yang menyumbang ini memang ikhlas kerana pakaian masih elok dan juga ada yang mahal seperti batik Terengganu termasuk beg tangan wanita berjenama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.