Sorting by

×

Pakaian terpakai hasil derma mangsa banjir dikongsi bersama

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER LIMAU 30 Dis – Timbunan pakaian terpakai di pusat pengumpulan dan pengagihan pakaian Parlimen Masjid Tanah di pekan Lubok Cina, di sini turut memberi manfaat kepada mangsa yang tidak terkesan banjir.

Ini kerana selepas beratus-ratus mangsa banjir mengambil
pakaian berkenaan sejak banjir besar melanda 18 Disember lalu, ia masih tidak habis.

Kamarudin Saad, 50, berkata kediamannya di Kampung Nerambai, Lubok Cina tidak dinaiki air berbanding kediaman jiran tetangganya.

“Pihak pengurusan pusat pengumpulan pakaian membenarkan saya mengambil pakaian untuk kegunaan saya dan anggota keluarga.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada penderma pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik dan berguna untuk kami,” katanya ketika ditemui di pusat itu hari ini.

Kamarudin yang sekadar bekerja kampung berkata, selain mangsa banjir, golongan berpendapatan rendah sepertinya amat menghargai sumbangan seumpama itu.

Katanya, walaupun sudah ramai mangsa banjir mengambil pakaian itu, timbunan pakaian masih belum susut berikutan masih ramai yang menderma.

Maimunah Hamzah, 66, berkata walaupun bukan mangsa banjir, dia diberikan peluang untuk memilih pakaian terpakai untuk anggota keluarganya.

“Alhamdulillah, walaupun sudah terpakai, pakaian yang didermakan orang ramai, masih boleh digunakan dan sesetengahnya kelihatan masih baru,” katanya.

Saonah Wahab, 70, berkata pakaian terpakai itu meringankan beban masyarakat B40 sepertinya untuk mendapatkan pakaian.

“Saya kasihan melihat ramai orang menjadi mangsa banjir tetapi pakaian di sini tidak susut walaupun sudah diambil oleh mereka sejak banjir minggu lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2909
Kongsi :
Previous post Industri kayu catat nilai eksport RM17.95 bilion tahun 2021
Next post PMM ketengah 59 produk inovasi rekaan pelajar
Ubah saiz-+=