
Pakai pakaian sesuai, bantu lancarkan pemberian vaksin
AYER KEROH 10 Jun – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali menasihati setiap individu mengenakan pakaian bersesuaian ketika hadir mengambil suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Katanya, pemakaian pakaian yang longgar dengan lengan baju yang mudah disingsing perlu dititikberatkan bagi memudahkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi suntikan sekali gus dapat menjimatkan masa dan masa menunggu orang lain.
“Saya nasihatkan kepada sesiapa sahaja yang hadir termasuk warga emas dalam tempoh ini bagi mengenakan pakaian yang sesuai dan tidak perlu memakai pakaian sempit kerana akhirnya ia akan menyusahkan kerana perlu membuka pakaian dan sebagainya,” katanya ditemui selepas menyertai tinjauan udara oleh Polis Diraja Malaysia hari ini.
Sementara itu, beliau menggalakkan penyertaan sukarelawan di setiap PPV di negeri ini bagi memudahkan urusan berkaitan termasuk membantu KKM membuat pengesahan kehadiran penerima berdasarkan tarikh janji temu ditetapkan.
“Seperti PPV di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) telah melakukan inisiatif sendiri mewujudkan sukarelawan dalam kakitangannya bagi membantu KKM dan ini merupakan satu perkara yang perlu diberi galakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.