Pak Ngah kongsi rezeki khatankan anak asnaf, B40 secara percuma

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KESIDANG 11 Disember – Seramai 31 kanak-kanak menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai secara percuma anjuran Tabung Amal Pak Ngah bersama Persatuan Penduduk dan Surau Taman Asean, Malim, di sini, hari ini.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Kebajikan Islam Sabah (Perkis) Negeri Melaka.

Pak Ngah atau nama sebenar Shikh Muhammad Makhdad Harun, 48 berkata, program khatan beramai-ramai itu disertai kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun daripada keluarga asnaf, anak yatim dan golongan B40 di kawasan berkenaan.

Katanya, program yang sudah memasuki beberapa edisi itu diadakan bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa khususnya golongan B40.

“Pak Ngah sudah buat program seumpama ini sudah lama, tapi sebelum ini hanya di klinik, jadi tahun ini lain sedikit, kita kongsi rezeki untuk bantu golongan tak berkemampuan termasuk anak-anak yatim dan asnaf.

“Kita buat program macam ini, ceriakan anak-anak, panggil bomba ‘mandikan’ kanak-kanak ini atas lori, kembalikan nostalgia lama yang semakin hilang, biar mereka ada kenangan bersunat,” katanya ketika ditemui di Surau Taman Asean, di sini hari ini.

IMG_20221211_142804_290
MELAKA 11 DISEMBER 2022. Peserta khatan yang terdiri daripada kanak-kanak berarak menaiki lori pada Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Tabung Amal Pak Ngah bersama Persatuan Penduduk dan Surau serta kerjasama PERKIS Melaka di Surau Taman Asean, Malim, Melaka. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, menurut Pak Ngah, pelbagai gelagat dan aksi mencuit hati dapat disaksikan apabila kanak-kanak memasuki ‘Dewan Bedah’ untuk dikhatankan.

“Bila buat program seumpama ini, ibu bapa, penduduk taman dapat sertai, kita penganjur dapat maklum balas yang positif, gembira tidak terkira rasanya.

“Insya-Allah kita akan teruskan program ‘khatan’ secara percuma ini sebagai acara tahunan,” katanya yang sering berkongsi rezeki dengan cara tersendiri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2463
Kongsi :
Previous post 100 kanak-kanak Taboh Naning ‘masuk jawi’
Next post Remaja maut, enam cedera nahas di Jambatan Klebang
Ubah saiz-+=