Sorting by

×

‘Pain Clinic’ diperluas di klinik kesihatan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sedang dalam usaha memperluaskan ‘Pain Clinic’ atau klinik perawatan kesakitan di kesemua klinik-klinik kesihatan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNM), Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, usaha itu merupakan penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi memudahkan pesakit-pesakit kronik mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan berhampiran, tanpa perlu ke hospital utama.

Menurutnya, sebelum ini, perawatan pesakit kronik hanya dilakukan oleh pakar bius di ‘pain clinic’ yang terdapat di tiga hospital utama iaitu Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin sahaja.

“Pain Clinic ini kita sudah mulakan di tiga hospital utama dalam negeri ini, namun kita akan perluaskannya ke klinik-klinik kesihatan seluruh Negeri Melaka dengan penglibatan doktor-doktor pakar keluarga yang akan memberi perawatan.

“Usaha ini kita lakukan untuk meningkatkan perkhidmatan dalam memberi perawatan.

“Kita (Jabatan Kesihatan Negeri Melaka) juga sedang dalam proses membenarkan pakar-pakar keluarga ini untuk memberi perawatan kepada pesakit-pesakit kronik yang mana sebelum ini hanya dilakukan oleh pakar bius di hospital utama sahaja.

“Usaha ini bagi pesakit benar-benar menerima perawatan sebenar oleh mereka yang betul-betul berkelayakan sekali gus memudahkan urusan mereka (pesakit) yang jauh dari hospital untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan berhampiran pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Anestesia Sedunia Peringkat Negeri Melaka di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata usaha untuk meningkatkan kualiti ubat yang dibekalkan di klinik-klinik kesihatan juga sedang dilakukan.

Jelasnya, hal itu bagi meningkatkan keupayaan sembuh dalam kalangan pesakit dan keupayaan untuk mengurangkan kesakitan lebih tinggi dapat dilakukan ketika menerima rawatan.

“Ubat-ubat yang dibekalkan di klinik-klinik kesihatan menerusi pain clinic juga akan ditingkatkan kualitinya di mana ia dapat membantu untuk mengurangkan kesakitan yang dialami pesakit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2444
Kongsi :
Previous post PRU15: KKM kemuka dua syor bolehkan pesakit COVID-19 mengundi
Next post Melaka negeri pertama tubuh Majlis TVET, martabat pendidikan kemahiran
Ubah saiz-+=