Sorting by

×

Pahit berganti manis buat peniaga Uptown Pahlawan Walk

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 21 Januari – Penempatan baharu peniaga Uptown Pahlawan Walk di kawasan Zon Bebas Kenderaan telah menunjukkan impak positif apabila kawasan itu kini mendapat perhatian ramai dan dikunjungi puluhan ribu pengunjung pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Rata-rata peniaga yang ditemui Melaka Hari Ini menzahirkan rasa berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menjadi pencetus kepada perubahan yang membawa limpahan rezeki buat mereka.

Seorang peniaga jeruk, Noraiha Jantan, 61, berkata, pada awalnya dia menjadi antara yang paling lantang membantah perubahan tersebut, namun kini dia bersyukur kerana perniagaannya di tempat baharu mendapat sambutan cukup menggalakkan.

Dia yang sudah hampir 50 tahun berniaga di sekitar Banda Hilir berkata, lokasi baharu itu diyakini akan membuka pintu rezeki lebih besar untuknya dan peniaga lain, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya akui mula-mula memang terkejut apabila dimaklumkan terpaksa berpindah, tapi benarlah orang kata nak dapat yang manis mesti menempuh yang pahit dahulu. Tak kenal maka tak cinta.

“Alhamdulillah bila dibuat perubahan seperti ini saya lihat semakin ramai pengunjung dan pelancong yang datang, lokasinya juga lebih bersih dan strategik.

“Cuma saya harap, kalau boleh tempoh masa perniagaan dapat dipanjangkan sedikit lagi sehingga jam 2 pagi kerana ada dalam kalangan pengunjung lebih gemar berjalan-jalan pada lewat malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 2205
Peniaga baju, Rosli Mohamad Said, 49 menunjukkan rekaan baju yang terdapat di gerainya di Uptown Pahlawan Walk, Banda Hilir, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Turut senada, peniaga baju, Rosli Mohamad Said, 49, yang bersyukur perniagaannya kini mendapat sambutan luar jangkaan.

Dia yang berasal dari Durian Tunggal berkata, berbanding lokasi lama, tapak baharu itu memberi lebih keselesaan kepada peniaga yang juga merupakan duta kecil bagi mempromosikan Melaka.

Malah, dalam merancakkan lagi sambutan TMM2024, dia turut menyahut seruan Kerajaan Negeri dengan menawarkan harga istimewa serendah RM10 sehelai baju kepada pengunjung dan pelancong untuk dibawa pulang sebagai cenderahati.

“Baju-baju cetakan khas berasaskan Melaka ini kita jual pada harga lebih murah kerana kita mahu pengunjung dan pelancong yang datang dapat membawa pulang buah tangan yang istimewa dan tawaran ini akan dibuat sepanjang tahun 2024.

“Pada masa sama, saya juga akan menyahut saranan Ketua Menteri untuk menghasilkan cetakan baju dengan ‘tagline’ TMM2024 dan slogan tambahan Kerajaan Negeri Melaka ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ dalam masa terdekat.

“Saya percaya peluang yang diberikan ini tidak boleh disia-siakan dan sebagai peniaga kami akan terus berada di belakang kepimpinan Kerajaan Negeri dalam apa jua pembaharuan yang akan membawa manfaat kepada semua pada masa akan datang,” katanya yang telah berniaga selama 14 tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3391
Kongsi :
Previous post Ceongsam batik auntie Siew laku di luar negara
Next post Lelaki ditahan lempar dan koyak al-Quran di Jempol
Ubah saiz-+=