Padah miliki, jual senapang tiruan buatan sendiri
AYER KEROH 11 Jun – Padah memiliki senapang tiruan, lima lelaki termasuk seorang warga emas ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah D9 Bukit Aman di lima premis sekitar daerah Jasin, semalam.
Dalam serbuan itu, lapan laras senapang tiruan buatan sendiri yang mirip senapang sebenar berjaya dirampas.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, seorang suspek berusia 35 tahun yang ditahan pada awalnya mendakwa dia membuat senapang berkenaan hanya untuk memburu binatang liar.
Namun, hasil siasatan lanjut mendapati, senapang tiruan berkenaan turut dijual kepada kenalan rapat dan penduduk sekitar.
“Kegiatan ini dipercayai dijalankan lebih setahun lalu dan suspek yang bekerja kampung mendakwa ia dilakukan hanyalah sebagai pendapatan sampingan.
“Boleh dikatakan rampasan ini merupakan yang terbesar membabitkan senjata tiruan di Melaka untuk tahun ini.
“Polis menasihatkan sesiapa sahaja yang telah membeli atau menyimpan senapang tiruan itu, segeralah hadir ke balai polis berhampiran untuk menyerahkan senapang berkenaan sebelum kami membuat serbuan secara besar-besaran,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, dalam serbuan sama, pihak polis turut merampas 14,800 batang rokok seludup pelbagai jenis disyaki tanpa cukai kastam di rumah sebuah bekas Sidang di sebuah kampung daerah Jasin.
“Kesemua yang ditahan bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.