Padah menggaji pekerja warga asing
ALOR GAJAH 11 Julai – Padah menggaji 68 pekerja warga asing tanpa permit sah, pengarah sebuah pasar raya borong didenda RM340, 000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, semalam.
Hakim Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu, selepas tertuduh Datuk Chiew Lian Keng, 56, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membenarkan 68 pendatang asing tanpa izin iaitu 51 lelaki warga India, 11 lelaki Pakistan, dua lelaki Bangladesh, seorang Nepal dan tiga lelaki Myanmar memasuki premis kendaliannya.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah pasaraya di Taman Teknologi Cheng, Melaka Tengah, pada jam 4 petang pada 22 Januari 2020.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta sama yang membawa hukuman denda RM5, 000 hingga RM30, 000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua- duanya bagi setiap pendatang tanpa izin dijumpai dipremis tebabit jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ahmad Sazali pada penghakimannya berkata, sebagai seorang pengarah syarikat, tertuduh perlu mengambil tahu tentang proses pengambilan pekerja selain memastikan ianya diurus dengan baik supaya perkara demikian tidak berlaku.
Ahmad Sazali kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM5,000 atau sebulan penjara bagi setiap pendatang tanpa izin atau jumlah kesemuanya RM340,000 atau 68 bulan penjara.
Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka, Nuratika Aman manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.