Sorting by

×

P135 Alor Gajah: 13 tawaran, 5 KPI Shahril Hamdan

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

Calon Barisan Nasional (BN) Alor Gajah Shahril Sufian Hamdan menggariskan 13 tawaran dan lima (5) petunjuk prestasi utama (KPI) sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Menariknya, nombor 13 dan 5 yang digariskan itu merupakan simbolik kepada P135 Alor Gajah iaitu kerusi yang akan ditandinginya.

Berikut merupakan senarai 13 tawaran dan 5 KPI yang boleh menjadi rujukan warga Alor Gajah:

TAWARAN 1 – KEBAJIKAN

Memastikan kebajikan anak Alor Gajah untuk jangka masa panjang dengan menyediakan kelas tuisyen percuma untuk pelajar luar bandar serta mempercepat pembinaan rumah untuk penerima eKasih.

TAWARAN 2 – KEBAJIKAN GIG RIDERS

Menjaga kebajikan pekerja gig dengan tajaan penuh perlindungan SOCSO kepada semua gig riders sepenuh masa di Alor Gajah.

TAWARAN 3 – APLIKASI DIGITAL

Melancarkan aplikasi digital one-stop untuk Alor Gajah yang membolehkan aduan setempat secara langsung. Mengadakan sesi rapat umum dan soal jawab di Alor Gajah sekurang-kurangnya dua bulan sekali.

TAWARAN 4 – PENDIDIKAN & KERJAYA

Menjalinkan kerjasama antara industri dengan IPT seperti antara Alor Gajah Industrial Estate dengan UITM Lendu dan UTEM bagi memudahkan anak Alor Gajah belajar dan mendapat pekerjaan berkualiti di Alor Gajah tanpa perlu berhijrah jauh.

TAWARAN 5 – PERTANIAN

Memberi bantuan khusus kepada petani Alor Gajah berjumlah RM6 juta untuk membantu pendigitalan pertanian melalui penggunaan Internet of Things bagi sektor perkhidmatan.

TAWARAN 6 – PELABURAN

Bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan Negeri untuk menarik pelaburan berkualiti seperti pembinaan pusat pemasangan tempatan EV (kenderaan elektrik). Memandangkan Alor Gajah sudah pun mempunyai electron radiation plant yang digunakan dalam pewayaran EV, Alor Gajah berpotensi menjadi hab ekosistem EV di Malaysia.

TAWARAN 7 – PUSAT PKS

Membina pusat PKS setempat bagi mempermudah urusan permohonan bantuan modal perniagaan untuk penjaja kecil dan PKS, termasuk inisiatif khusus untuk wanita dan belia yang termaktub dalam Bajet 2023.

TAWARAN 8 – PELANCONGAN

Menarik lebih banyak pelancong dari dalam dan luar negara melalui pelbagai inisiatif moden seperti mewujudkan data bank pelancongan dengan kerjasama agensi seperti Tourism Malaysia untuk mempromosi keunikan dan tarikan dalam Alor Gajah.

TAWARAN 9 – KESELAMATAN

Mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir menerusi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di lokasi strategik seperti Taman Sri Bayu dan Sungai Alor Gajah.

TAWARAN 10 – KOMUNITI

Memakmurkan komuniti Cina dan India menerusi Projek Kemajuan Kampung Baru Cina dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) yang termaktub dalam inisiatif Belanjawan 2023.

TAWARAN 11 – SUKAN

Membina stadium mini Alor Gajah yang lengkap dengan gelanggang futsal dan gimnasium, menaja liga bola tempatan, dan menganjurkan pertandingan e-sports dengan hadiah berjumlah RM200,000.

TAWARAN 12 – KEROHANIAN

Mengutamakan kesejahteraan rohani Alor Gajah dengan mempermudah pembinaan masjid baru di Kg Melaka Pindah dan Kg Gangsa.

TAWARAN 13 – TELEKOMUNIKASI

Menghubungkan Alor Gajah dengan memastikan 100% liputan 4G dan sifar titik buta/blindspot seperti disasarkan program Jendela dan juga mengenalpasti kawasan-kawasan strategik sekitar Alor Gajah untuk menerima liputan 5G.

———————————————————————

BERLANDASKAN 5 KPI UTAMA: 

1. MEMPERKASA KUALITI DAN AKSES PENDIDIKAN

2. MENINGKATKAN PENDAPATAN PURATA ISI RUMAH

3. MENAIK TARAF INFRASTRUKTUR

4. MENAMBAH JUMLAH PEKERJAAN BERKUALITI

5. MENGANGKAT MARTABAT DAN KEUNIKAN ADAT YANG PELBAGAI

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2156
Kongsi :
Previous post Bayi lelaki ditimpa pokok rhu meninggal dunia
Next post Lagu asli tidak bosan jika faham maksudnya
Ubah saiz-+=