OTAI DAM AJI MASIH BERBISA
DUYONG 11 November – Meskipun sudah menginjak usia 78 tahun namun peserta tertua Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dari DUN Duyong masih mampu memberikan saingan sengit kepada lawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, DUN berkenaan menerima sebanyak 54 penyertaan.
Menurut Mohd Noor Helmy, menariknya daripada 54 penyertaan itu lapan adalah peserta wanita yang turut bersemangat untuk mewakili DUN Duyong ke peringkat seterusnya.
“Dengan adanya pertandingan ini semua peringkat umur akan berkumpul tidak kira muda atau atua. Semua ingin menunjukkan kebolehan. Sayangnya golongan muda ramai kalah diperingkat awal apabila ‘dititik’ oleh peserta veteran.
“Pertandingan dam aji ini mendapat sambutan amat menggalakkan khusus dalam kalangan otai atau orang ramai. Ramai yang sebelum ini jarang dilihat bersama komuniti, keluar untuk bersama-sama memeriahkan pertandingan.
“Malah, ada antara mereka kelihatan begitu bersemangat apabila membuat persiapan awal dengan mengadakan latihan selama tiga hari sebelum pertandingan berlangsung,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Peringkat DUN Melaka, di Dewan Serbaguna Semabok Dalam, semalam.
Mohd Noor Helmy berkata, memandangkan peserta wanita terkandas awal, satu pertandingan lain telah diadakan sebagai tanda menghargai sokongan mereka.
“Untuk lapan peserta wanita ini kita telah adakan satu lagi pertandingan lain yang turut menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang.
“Ini bagi menghargai sokongan mereka, meskipun tahu akan berdepan dengan kaum adam tetapi mereka tetap mencuba,” katanya.
Jelasnya, bagi peringkat DUN Duyong, pertandingan dam aji akan terus diadakan kerana pada penganjuran sebelum ini pihaknya menerima hampir 100 penyertaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.