Sorting by

×

Origami Corner Chair bantu golongan memerlukan – UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Mac – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyampaikan 100 unit produk inovasi Origami Corner Chair (OCC) buat golongan memerlukan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, produk inovasi OCC dibangunkan menerusi dana Malaysia Social Innovation (MySI) dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada waktu itu.

“Kumpulan penyelidik UTeM melalui Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat memperoleh dana MySI pada 2019 berjumlah RM61,204.

“Hasil dana itu kita jalankan projek ini dengan tajuk ‘Bantuan OCC kepada Kanak-kanak Cerebral Palsy’ (CP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MOHD Azlan memberikan penerangan mengenai produk inovasi OCC bagi kegunaan mereka yang memerlukan.

Jelasnya, OCC merupakan inovasi baharu dalam kategori alatan rehabilitasi kanak-kanak CP yang mempunyai banyak penambahbaikan berbanding ‘corner chair’ sedia ada di pasaran.

“OCC memberi manfaat kepada dua pihak iaitu pesakit CP kanak-kanak dan penjaga/juruterapi yang menguruskan pesakit kerana reka bentuknya yang unik.

“OCC mempunyai kelebihan lebih baik kerana ia memenuhi spesifikasi tambahan lebih mesra pengguna dan kos pembuatannya juga telah ditambah baik,” katanya lagi.

Selain sumbangan terus kepada individu terbabit, ia turut disalurkan menerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negara, baru-baru ini.

Menurut Raha, pesakit telah disaring dan keutamaan diberikan kepada golongan B40.

“Penerima bagi kategori pesakit individu adalah seramai 81 orang dari seluruh negara.

“Sebanyak 19 unit lagi disumbangkan pula kepada PPDK di Melaka dan juga NGO berkaitan CP iaitu Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum Malaysia (GAPS),” katanya.

Untuk rekod projek pembangunan produk inovasi OCC itu diketuai ketua penyelidik Mohd Azlan Mohamed dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) bersama ahli kumpulannya Mohd Kamal Musa dan Mohd Qadafie Ibrahim.

Produk tersebut dibangunkan sejak 2017 setelah membuat lawatan ke rumah seorang pesakit CP di Melaka bersama kumpulan Charity.

Reka bentuk produk difailkan pada 2019 dan berjaya memperoleh beberapa anugerah reka bentuk antaranya di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2019, International Conference And Exposition On Invention (PECIPTA) 2019 dan International Festival Of Innovation On Green Technology (I-FINOG) 2019.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1391
Kongsi :
Previous post Kaji dulu sebelum kongsi pendapat di media sosial – Khaidirah
Next post Suri rumah rugi RM50,000 ditipu ‘Tuan Lee’
Ubah saiz-+=