Orang ramai ‘serbu’ pasar raya
PAYA RUMPUT 8 Nov. – Dek kerana panik, orang ramai dilihat mula berpusu-pusu ke pasar raya berhampiran sejak malam tadi hinggalah ke hari ini untuk membeli barangan keperluan.
Situasi itu berlaku susulan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri seluruh Semenanjung Malaysia, kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis bermula esok hingga 6 Disember ini.
Tinjauan di sebuah pasar raya di Cheng, di sini mendapati parkir kenderaan yang kebiasaannya masih terdapat banyak lot kosong tiba-tiba menjadi penuh.
Situasi itu juga dapat dilihat di dalam pasar raya yang mana orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membuat pembayaran di kaunter juruwang.
Kelihatan juga troli yang dibawa dipenuhi barang-barang keperluan harian seperti barangan kering dan basah, makanan ringan dan lain-lain.
Melaka Hari Ini meneruskan tinjauan ke sebuah lagi pasar raya di Bukit Rambai dan situasi sama turut berlaku.
Malah, situasi di situ dilihat sedikit di luar kawalan apabila ada di antara mereka terpaksa beratur di luar pasar raya ekoran bilangan pengunjung yang sangat ramai.
Seorang pekerja swasta, Marain Fazlin, 33, berkata, pada awalnya dia hadir ke pasar raya untuk membeli sedikit barang keperluan rumah.
Namun, disebabkan terlau ramai orang di pasar raya berkenaan, dia terpaksa melupakan hasrat tersebut.
“Memang terkejut jugalah apabila tiba-tiba lihat ramai orang di pasar raya. Disebabkan terlalu ramai, saya memilih untuk balik kerana risau berlaku sesuatu yang tidak diingini memandangkan Melaka masih merekodkan kes positif COVID-19.
“Mungkin ada di antara rakyat yang mula panik apabila kerajaan mengumumkan PKPB selama sebulan. Sebab itulah ramai yang berpusu-pusu ke pasar raya,” katanya.