Orang ramai diminta berhati-hati, ada kawasan dinaiki bah lebih 1.5 meter
AYER KEROH: Sekurang-kurangnya tujuh kawasan di negeri ini ditenggelami banjir kilat akibat hujan lebat sejak lewat petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron ketika dihubungi Melaka Hari Ini mengesahkan perkara itu.
Beliau menjelaskan pihaknya masih memantau rapi perkembangan banjir termasuk bersedia untuk ‘turun padang’ meninjau kawasan terjejas.
“Saya difahamkan ada tujuh lokasi terjejas akibat banjir kilat setakat ini. Pertamanya, Alhamdulillah kita menerima hujan hari ini…kali ini hujan turun mencurah-curah.
“Mungkin ada kawasan kita terlepas pandang dari segi penyelenggaraan perparitan dan sebagainya dan kali ini hujan berlaku dan kawasan itu terperangkap,” katanya.
Idris berkata, beliau ada melihat video tular mengenai kejadian beberapa kereta ditenggelami banjir di Krubong Perdana dan sedang menyiasat perkara itu.
“…saya nak check dulu macam mana tiba-tiba boleh jadi (banjir kilat). Mungkin selama tiga bulan tidak hujan jalan itu (tempat kejadian) dibuka. Saya perlu kaji (mendapatkan maklumat lanjut),” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Saya nasihat pada orang ramai berhati-hati…jangan ambil mudah. Walaupun lama tidak hujan, parit dan sawah kering, tapi hujan kali ini lain macam lebatnya… saya difahamkan ada kawasan dinaiki air lebih 1.5 meter,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.