Sorting by

×

Orang ramai beri penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat terus hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini hari ini.

Mereka hadir sejak awal pagi sebelum dibenarkan masuk pada 9‬ pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk perlu mengisi butiran lengkap dan semakan suhu badan.

Bagi Irma Awang, 40, menyifatkan Allahyarhamah yang merupakan nenek saudaranya, seorang yang lemah lembut dalam berbicara dan setiap kata-katanya penuh dengan nasihat.

“Sukar melihat arwah marah, sekalipun arwah marah, arwah akan titipkan nasihat di dalamnya.  Sesungguhnya, kami memang sangat terkesan dengan pemergiannya dan tidak mampu untuk berkata-kata,” katanya yang memanggil Allahyarhamah dengan panggilan nenda.

Datuk Kong Sooi Lin yang merupakan bekas pekerja kepada Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak berkata Tun Rahah adalah seorang ibu yang baik terhadap anak-anaknya.

“Kecekalan beliau dalam membesarkan anak-anak adalah kejayaan yang besar dan beliau telah menunjukkan teladan yang baik,” katanya.

Turut berdukacita, Penny Teo, 55, yang menganggap Tun Rahah seorang wanita yang baik dan sangat mesra.

“Sepanjang saya mengenalinya, beliau adalah seorang yang sangat merendah diri dan baik dalam berkata-kata,” katanya yang merupakan pekerja Datuk Mohamed Nazim Tun Razak.

Bekas Imam Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Mohd Syukri Ismail, 31, menyifatkan Tun Rahah sebagai tokoh negara yang disegani.

Menurutnya, jasa Allahyarhamah terlalu besar sementelah beliau adalah isteri kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan ibu kepada Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya secara peribadi, sangat mengagumi sifat keperibadiannya dan kepimpinannya. Jasanya terlalu besar dan harus dikenang semua,” katanya kepada Bernama.

Mohd Azrul Mohd Isa, 30, pula mengakui sangat mengagumi dan menghormati sifat Allahyarhamah dan menganggap beliau umpama ibunya sendiri.

“Saya kagumi sikapnya yang penyayang, prihatin, baik hati dan tabah malah sentiasa membantu masyarakat terutamanya wanita,” kata pekerja swasta itu.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, petang semalam.

Allahyarhamah berkahwin dengan Tun Abdul Razak pada 4 Sept 1952, dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Mohamed Nazir, Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam dan Mohamed Nazim.- BERNAMA

Views:

904
Kongsi :
Previous post Sultan Selangor, Sultan Perak berkenan ziarah Tun Rahah
Next post Pemergian Tun Rahah satu kehilangan besar negara – Dr Mahathir
Ubah saiz-+=