Orang muda bantu salur maklumat tepat mengenai dos penggalak
KUALA LUMPUR, 8 Feb – Golongan muda perlu menjadi ejen penyampai maklumat tepat berhubung dos penggalak COVID-19 kepada ibu bapa atau masyarakat sekeliling agar mereka berasa lebih yakin untuk menerima suntikan itu tatkala negara berdepan gelombang jangkitan varian Omicron.
Pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia Prof Dr Malina Osman berkata langkah itu perlu dilakukan berikutan terlalu banyak maklumat tidak tepat mengenai kesan pengambilan dos penggalak sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata sebagai anggota keluarga, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada ibu bapa dengan menerangkan kebaikan mengambil dos penggalak berbanding tidak berbuat demikian.
“Kadang-kadang bukan vaksin menjadi penyebab kepada komplikasi kesihatan, mungkin penerimanya mempunyai penyakit lain namun tidak membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum mengambil vaksin. Jadi di sinilah anak-anak perlu memainkan peranan penting menerangkan perkara sepatutnya.
“Masyarakat juga perlu dididik untuk mendapatkan maklumat sahih daripada golongan yang mempunyai latar belakang tentang perubatan, bukannya dalam kalangan profesion lain,” katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, beliau menyarankan pakar-pakar Kementerian Kesihatan (KKM) agar aktif bekerjasama dengan media untuk membuat hebahan secara berkesan tentang keperluan suntikan dos penggalak dalam mendepani gelombang baharu COVID-19 itu.
Sementara itu, pakar perunding perubatan dalaman dan penyakit berjangkit Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri Dr Muhamad Yazli Yuhana berpendapat kefahaman masyarakat mengenai suntikan dos penggalak perlu bersandarkan pada kajian klinikal dan pandangan daripada pakar perubatan, sebaliknya bukannya dipengaruhi oleh sentimen atau andaian yang belum lagi terbukti sahih.
Katanya kerajaan tidak akan menyarankan suntikan itu jika ia memudaratkan orang ramai, justeru dalam soal kononnya dos penggalak memberi kesan buruk, beliau meminta orang ramai supaya tidak terus menerima bulat-bulat sebarang maklumat bersifat sebelah pihak itu.
Beliau juga berharap orang ramai tidak mengambil mudah keadaan semasa jangkitan COVID-19 diakibatkan varian Omicron biarpun jumlah pesakit dijangkiti kini lebih ramai dalam kategori satu dan dua berbanding kategori tiga, empat dan lima.
Kategori satu merujuk kepada pesakit yang tidak bergejala, kategori dua (gejala ringan), kategori tiga (jangkitan paru-paru), kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan kategori lima (kritikal, organ rosak dan memerlukan ventilator).
“Masyarakat perlu faham bahawa varian Omicron muncul ketika vaksin COVID-19 sudah ada untuk memberikan perlindungan awal namun, tidak bermakna suntikan awal itu cukup untuk melindungi mereka sepenuhnya terutama kepada golongan berisiko.
“Jadi jangan pentingkan diri sendiri dengan tidak mengambil vaksin atau dos penggalak, fikir juga mengenai orang lain,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggesa masyarat agar segera mendapatkan dos penggalak kerana Malaysia kini sudah sepenuhnya berdepan gelombang varian Omicron dan dijangka menyaksikan kes harian COVID-19 mencecah 15,000 tidak lama lagi.
Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, seramai 12,473,139 individu dewasa atau 53.3 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 setakat semalam.
Sementara sejumlah 22,930,943 individu atau 98 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan dua dos vaksinasi, manakala 23,206,202 individu atau 99.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.