Orang Melaka ‘lepas rindu’ berkelah di Pantai Puteri
PANTAI KUNDOR, 5 Sept – Orang ramai yang lengkap dua dos vaksin mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk berkelah di pantai.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Pantai Klebang dan Pantai Puteri mendapati, sejak jam 8 pagi lagi, pengunjung sudah mula memenuhi pantai dengan memasang khemah dan ada yang sekadar membawa tikar berkelah dan makanan.
Namun, yang paling mencuri tumpuan ialah riak gembira dan seronok kanak-kanak yang dapat bermain pasir pantai dan mandi-manda.
“Seronok sangat. Dapat main pasir dan tengok ‘beach’ (pantai),” kata Muhammad Naufal Wafiq Muhammad Nasrul Wajdee, 5.
Ibunya, Nur Ain Zaharuddin, 31, berkata, anak sulungnya itu cukup teruja apabila diberitahu akan berkelah di pantai sehinggakan kerap bertanya bila akan sampai ke lokasi pagi tadi.
Dia yang menetap di Duyong Permai berkata, walaupun suasana pantai itu kembali meriah dengan kehadiran orang ramai, namun dia sekeluarga tetap menitik beratkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan aktiviti luar.
“Keadaan memang meriah, tetapi semua yang ada di sini patuh SOP yang mana tiada yang berkumpul dan menjaga penjarakan di antara satu sama lain.
“Saya berharap, bila kerajaan dah beri kelonggaran seperti ini, kita semua perlulah gunakan peluang sebaiknya dan patuh SOP ditetapkan kerajaan.
“Perlu ingat, kita masih belum menang, tapi jika semua ikut SOP norma baharu, Insya-Allah kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Bagi Siti Fatimah Zakaria, 41 berkata, dia bersama suami dan empat anak mula tiba di Pantai Klebang kira-kira jam 9 pagi tadi.
Katanya, dia sekeluarga mengambil peluang kelonggaran aktiviti riadah yang diberikan kerajaan memandangkan sudah berbulan-bulan hanya duduk di rumah dan tidak melakukan aktiviti bersama keluarga.
“Anak-anaklah yang paling teruja. Mereka sampai tidak boleh tidur malam bila diberitahu akan keluar berkelah pada hari ini.
“Memang mereka seronok sangat apabila dapat bermain pasir dan berkelah di tepi pantai sambil menghirup udara segar selepas sekian lama tidak keluar,” katanya kepada MHI.
Sementara itu, seorang pengunjung di Pantai Puteri, Muhammad Nor Azhar Muhammad Ariffin, 37 dari Taman Semabok Perdana menyambut baik kelonggaran aktiviti berkelah yang diberikan kerajaan kerana ia sekurang-kurangnya dapat meredakan tekanan anak-anak yang sudah lama menghabiskan masa di rumah.
Tambahnya, jika diberi pilihan memilih kelonggaran membawa anak-anak di kompleks beli belah atau pantai, dia lebih rela membawa anak-anak berkelah di tepi pantai kerana baginya ia lebih selamat.
“Sekurang-kurangnya, di pantai ia tempat terbuka tidak seperti kompleks beli belah yang tertutup dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik.
“Jadi, saya rasa di sini lebih selamat, asalkan semua patuh pada SOP yang ditetapkan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.