Sorting by

×

ORANG MELAKA HARAP LEBUH RAYA WCE BANTING – GELANG PATAH JADI REALITI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 19 Oktober – Belanjawan 2025 yang menyentuh mengenai keutamaan membina Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) bagi jajaran Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor disambut baik rakyat Melaka.

Ini kerana projek berkenaan akan turut melibatkan jajaran di Melaka iaitu di kawasan Kuala Linggi dan Masjid Tanah, sekali gus bakal melakar kemajuan baharu di kawasan luar bandar negeri ini.

Anak jati Melaka, Abdul Kadir Abu Bakar, 33, menyifatkan projek berkenaan bakal memberi limpahan ekonomi untuk rakyat dan negeri, selain mengubah taraf hidup masyarakat di kawasan luar bandar.

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu rakyat dengan menyediakan kemudahan dan infrastruktur terbaik untuk masa depan.

“Secara tidak langsung, projek ini juga bakal menambah peluang pekerjaan untuk anak Melaka dan apabila peluang pekerjaan bertambah, taraf hidup rakyat juga akan meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita di Banda Hilir, hari ini.

Img 20241019 Wa0036
ABDUL KADIR

Nada sama turut dizahirkan, Siti Zulaikha Abdul Wahab, 34, yang berharap menerusi pelbagai projek pembangunan seperti pembinaan lebuh raya, kewujudan kawasan industri baharu di lain-lain di negeri ini akan dapat menambah serta mempelbagaikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ memaklumkan Lebuh Raya WCE Banting – Gelang Patah menjadi satu daripada lima projek berkepentingan rakyat yang akan diberi keutamaan tahun depan.

Menurut beliau, projek itu akan mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP).

Selain WCE, antara projek lain yang akan menggunakan pendekatan PPP adalah pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor; Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang; Lebuh Raya WISE dari Gopeng ke Kuala Kangsar, Perak serta Projek Tanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah dan Perlis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

15851
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN 2025 LULUSKAN 14 INISIATIF UNTUK PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN
Next post MELAKA CITRA FLORIA HAIR SHOW GAMIT LEBIH 12,000 PENGUNJUNG
Ubah saiz-+=