Sorting by

×

Orang awam tidak boleh halang polis buat pemeriksaan kenderaan – Acryl Sani

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SHAH ALAM, 18 Feb. – Orang awam tidak boleh menghalang polis daripada memeriksa kenderaan mereka jika dipercayai terdapat perkara-perkara yang menyalahi undang-undang, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata tugas polis di sekatan jalan raya (SJR) adalah untuk memeriksa dokumen-dokumen seperti pengenalan diri, lesen, maklumat kenderaan dan menyemak cukai jalan masih sah atau tidak serta surat perjalanan.

“Orang ramai harus mematuhi petugas SJR apabila diminta untuk memberikan mana-mana dokumen yang terlibat dan itu adalah untuk setakat mana polis menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain dari memeriksa dokumen-dokumen, SOP yang ditetapkan MKN semasa melakukan SJR ini juga tidak menghalang pihak polis dalam melakukan tugas-tugas urusan polis yang lain-lain,” katanya dalam sidang media selepas melawat SJR di Plaza Tol Setia Alam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ada orang awam yang mempersoalkan kuasa dan batasan polis semasa penugasan di SJR.

“(Ini) kerana ada pihak yang menggunakan kenderaan untuk menyeludup barang-barang yang terlarang atau menggunakan kenderaan untuk melakukan kegiatan jenayah, di mana kenderaan itu juga dicuri,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai penerimaan vaksin COVID-19 yang dijangka tiba di negara pada Ahad ini, Acryl Sani berkata pihaknya telah membuat persiapan terperinci bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan keselamatan vaksin COVID-19 berkenaan.

“(Ia adalah) Daripada segi pergerakan, pemindahan, penyimpanan dan pengedaran vaksin ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan berada dalam keadaan selamat serta terjamin,” katanya.

Mengulas mengenai isu penahanan seorang pengasas aplikasi “Sugarbook” yang permohonan reman ke atasnya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, beliau berkata pihaknya akan meneruskan siasatan dan sedang mengumpul keterangan daripada pihak-pihak berkaitan bagi melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

Bernama melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang ditahan pada 4.30 petang semalam di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Susulan aduan orang ramai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat akses ke laman itu yang turut mendakwa semakin ramai wanita di negara ini, khususnya penuntut universiti, menawarkan diri menjadi “sugar baby” menerusi laman berkenaan.- BERNAMA

Views:

1483
Kongsi :
Previous post COVID-19 : Melaka kekal dua angka 
Next post COVID-19: 2,712 kes baharu, rekod tertinggi 25 kematian
Ubah saiz-+=