Orang awam selamatkan 32 anak penyu karah sesat di pantai PD

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SEREMBAN 11 Sept – Sebanyak 32 anak penyu karah yang baru menetas ditemukan berkeliaran di laluan pejalan kaki di pantai Batu 4, Port Dickson, dekat sini sebelum diselamatkan orang awam semalam, kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), Halimi Abu Hanip.

Beliau berkata anak penyu yang sedang mencari arah ke laut itu ditemukan sesat di laluan berkenaan sebelum diselamatkan oleh individu bernama Jezzrel Pereira dan rakannya yang berada lokasi berkenaan pada pukul 2 pagi.

“Bimbang akan keselamatan anak-anak penyu itu, mereka segera bertindak menyelamatkan anak penyu berkenaan dan melepaskannya ke laut. Kejadian itu turut dilaporkan kepada Angkatan Pertahanan Awam dan JPNS.

“Susulan itu, pasukan dari Pusat Ikan Hiasan Port Dickson dan anggota APM bergegas ke tempat kejadian untuk mencari baki anak penyu yang ada dan berjaya menemukan seekor lagi anak penyu yang masih hidup untuk diselamatkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Halimi yang turut berterima kasih kepada Jezzrel dan rakan-rakannya itu berkata ia merupakan insiden kedua anak penyu yang baharu menetas ditemukan orang awam pada tahun ini, dengan kejadian pertama di pantai Bagan Pinang bulan lepas.

Beliau berkata kebiasaan anak penyu akan menetas di pantai pada waktu malam yang gelap dan kemudian bergerak ke arah laut.

Jelasnya ancaman lebih besar berlaku terhadap anak-anak penyu itu terutama di pantai peranginan Port Dickson memandangkan kawasan itu menjadi tumpuan pelancong dan ia dikhuatiri boleh mati dilanggar kenderaan atau dipijak.

“Jika penyu ini masih gagal sampai ke gigi pantai, ia turut berdepan dengan ancaman dimakan anjing dan burung atau diambil oleh orang awam yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Halimi seterusnya menzahirkan penghargaan kepada orang awam yang turut sama menjaga dan memulihara spesies terancam yang amat dilindungi ini di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, Ketua Pusat Ikan Hiasan Port Dickson Doreen Wee Siew Leen berkata 540 ekor anak penyu jenis agar dan karah dilepaskan di beberapa pantai di sekitar Port Dickson sejak awal tahun ini sehingga Julai lepas.

“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu di pantai Port Dickson dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar dan karah suatu hari nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

902
Kongsi :
Previous post Wanita galas peranan besar selepas COVID-19
Next post Dua kluster baharu, sembilan kematian COVID-19 di Melaka
Ubah saiz-+=