Sorting by

×

ORANG ASLI GEMBIRA DAPAT LESEN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 21 September – Program Bantuan MyLesen yang menawarkan lesen motosikal percuma kepada golongan B40 turut memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Difahamkan, seramai 69 masyarakat Orang Asli di negeri ini berjaya mendapatkan lesen memandu B2 selepas selesai mengikuti program berkenaan yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka.

Antara yang menerima manfaat daripada program itu ialah Ashah Jegap, 38, yang berasal dari Perkampungan Orang Asli Bukit Payung, Simpang Ampat, Alor Gajah.

Menurut ibu kepada empat anak itu, sebelum ini dia terpaksa menunggang motosikal tanpa lesen untuk membawa anaknya ke sekolah, selain menyelesaikan pelbagai urusan lain di bandar.

Namun, demi keselamatan dirinya dan keluarga serta pengguna jalan raya lain, dia bertekad mahu menyertai MyLesen selepas mendapat tahu mengenai program berkenaan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Pernah dahulu, saya terpaksa menunggang motosikal untuk membawa anak yang sakit ke sebuah klinik di Tampin kerana kebetulan ketika itu suami sedang bekerja di ladang sawit.

“Malang untuk kami kerana ditahan JPJ pada ketika itu dan saya mengaku tidak pernah mempunyai lesen memandu. Mujurlah saya tidak disaman atas budi bicara anggota JPJ.

“Jadi, sebaik nama saya terpilih saya bertekad untuk mengikuti program ini supaya saya rasa lebih selamat di atas jalan raya dan saya gembira kini memiliki lesen memandu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Sempena Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 JPJ Melaka, di Muzium Kota, di sini.

Dia yang juga seorang suri rumah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu rakyat mendapatkan lesen secara percuma.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

96
Kongsi :
Previous post 180 PENARI, PEMUZIK DALAM DAN LUAR NEGARA BERHIMPUN DI MELAKA
Next post PLANETARIUM, PUSAT SAINS NEGARA DI MELAKA 28-29 OKTOBER INI
Ubah saiz-+=