Ops Sampah Longgok: MBMB kutip lebih tiga tan sampah di Flat Sri Siantan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BUKIT BARU 1 Julai -Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengutip lebih tiga tan sampah di kawasan Flat Sri Siantan, menerusi Ops Sampah Longgok, baru- baru ini.

Setiausaha MBMB, Sulaiman Atan berkata, operasi itu dibuat rentetan aduan diterima penduduk setempat.

“Isu sampah longgok sudah menjadi tidak asing lagi, saban hari banyak aduan yang diterima mengenai isu sampah longgok yang tidak diangkat dan dibersihkan.

“Justeru, kita turun padang bagi melihat sendiri tapak pembuangan sampah longgok, pembuangan sampah haram serta bahan lusuh,” katanya kepada MHI.

Kerja pembersihan tersebut melibatkan seramai 20 kekuatan anggota MBMB dengan kerjasama pekerja pembersihan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang membantu membersihkan kawasan.

Sulaiman turut meminta orang awam membuang sampah dalam tong sampah yang disediakan serta mengikut jadual pembuangan sampah yang ditetapkan pihak SWCorp.

“Warga bandaraya diingatkan supaya menjaga kebersihan sekitar supaya dapat mengawal masalah sampah longgok, berbau busuk dan berair.

“SwCorp mengutip sampah domestik saja, sampah yang berbau busuk dan berair akan mengundang lalat, tikus dan biawak yang akhirnya membawa penyakit kepada penduduk,” katanya.

Membuang sampah secara haram boleh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Views:

562
Kongsi :
Previous post Komunikasi dua hala penting dalam misi T.E.R.A.S
Next post Tak sangka nasihat jadi viral
Ubah saiz-+=