Sorting by

×

OPS KHAS GEMPUR TEKNIKAL: JPJ MELAKA AMBIL TINDAKAN 847 KENDERAAN, KELUAR 1,069 NOTIS

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MELAKA, 9 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan ke atas 847 kenderaan dan mengeluarkan 1,069 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Khas Gempur Teknikal di Melaka sejak 25 Dis lepas.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata, notis kesalahan telah dikeluarkan kepada pihak syarikat, pemilik, dan pemandu atas pelbagai kesalahan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan termasuk 177 notis larangan penggunaan kenderaan dan 219 notis arah periksa 61(1).

Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 44 notis arah timbang di bawah Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, lapan notis arah timbang di bawah Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 serta empat notis temu siasat di bawah Seksyen 114 APJ 1987.

“Selain itu, tiga kenderaan masing-masing satu kenderaan perdagangan dan dua kenderaan perkhidmatan awam termasuk sebuah bas persiaran disita kerana lesen kenderaan motor telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Sepanjang tempoh operasi itu, 4,874 kenderaan telah diperiksa di bawah APJ 1987 (Akta 333) dan APAD 2010 (Akta 715) dan Kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Lebih Muatan dan Operasi Teknikal Melibatkan Kenderaan Barangan (KPB) dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata 35 kenderaan telah ditimbang dan 28 daripadanya didapati membawa lebih muatan dalam operasi yang dilaksanakan hari ini bermula pukul 5 hingga 8 pagi tadi.

Beliau berkata dalam operasi berkenaan, sebuah lori disita kerana tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh.

Muhammad Firdaus berkata operasi hari ini adalah kesinambungan daripada Operasi Khas Gempur Teknikal di seluruh negara yang dilaksanakan secara rondaaan dan memberi fokus pada kenderaan barangan dan perkhidmatan awam. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

288
Kongsi :
Previous post KAPAL TERBANG TENGAH BULATAN JADI TARIKAN BAHARU
Next post PEMANDU LORI PARAH, DUA CEDERA DALAM NAHAS DI KM 178.5
Ubah saiz-+=