Ops Gegar Malam: Majikan dikompaun gagal ‘lindungi’ pekerja

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KLEBANG 25 Jun – Masih ramai majikan di negeri ini tidak mencarum pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus gagal melindungi pekerja jika berlaku kemalangan.

Pengarah PERKESO Melaka Abd Razak Omar berkata, ia terbukti melalui Ops Gegar Malam apabila seramai 45 majikan yang sebahagian besarnya pengusaha restoran makanan di kawasan tumpuan berhampiran pantai dikenakan tindakan kompaun dengan nilai RM24,500.

Menurutnya, dalam operasi selama tujuh jam bermula pukul 4 petang itu, sebanyak 34 kompaun dikeluarkan kerana melanggar Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) di mana majikan gagal mendaftarkan perusahaan mereka.

“Manakala 11 kompaun lagi kerana kesalahan gagal mendaftar pekerja dengan PERKESO dengan nilai RM6,000.

“Kita memberi tempoh selama 14 hari kepada majikan untuk menjelaskan kompaun dan sekiranya gagal, tindakan pendakwaan diambil terhadap majikan terlibat.

“Jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Ops Gegar Malam yang terbahagi kepada dua kumpulan penguatkuasaan PERKESO dan memeriksa 168 premis sekitar Serkam, Umbai, Alai dan Klebang malam tadi.

Dalam operasi tersebut, majikan didapati menggunakan helah dengan mengarah pekerja pulang awal dan menutup perniagaan sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota penguatkuasaan PERKESO di premis mereka.

Malah, Abd Razak berkata, ada juga majikan memberi alasan bahawa mereka tidak mengetahui pekerja sambilan juga perlu dicarum bagi mengelak tindakan kompaun.

“Ini semua helah majikan yang tidak mahu dikompaun walhal pekerja tersebut adalah pekerja tetap mereka tetapi majikan beri alasan pekerja itu hanya sambilan sahaja.

“Ingin saya tegaskan bahawa majikan wajib mencarum walau sehari atau sekejap sahaja mereka kerja kerana itu sudah menjadi tanggungjawab majikan,” katanya.

Ujarnya, operasi itu adalah yang pertama untuk tahun ini setelah terhenti akibat pandemik COVID-19 selama dua tahun.

“Operasi yang sama akan diadakan, tidak kira siang atau malam dan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada majikan yang terlepas dari radar PERKESO serta memastikan majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

KOMPAUN berjumlah RM24,500 dikeluarkan ke atas majikan di atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu mengenai perkembangan yang sama, katanya, sejak Januari hingga Mei lalu, sebanyak 25 majikan telah didakwa di mahkamah.

Manakala tahun lalu, katanya, sebanyak 99 kes pendakwaan telah dibuat ke atas majikan di atas pelbagai kesalahan.

Pada masa yang sama, katanya, PERKESO negeri turut mengambil tindakan yang sama terhadap majikan yang gagal melaporkan kemalangan kepada agensi tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1079
Kongsi :
Previous post Kenyang ‘baham’ ayam kampung dalam reban
Next post Ab Rauf hargai sumbangan penderma darah selamatkan nyawa
Ubah saiz-+=