Operasi Tabika Perpaduan seluruh negara ditutup sepanjang PKP 2.0
PUTRAJAYA, 19 Jan – Operasi semua Tabika Perpaduan di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, berikutan trend peningkatan kes COVID-19 harian melanda negara ketika ini.
Kementerian Perpaduan Negara menerusi kenyataan medianya hari ini memaklumkan penutupan tersebut mengambil kira pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta keputusan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 18 Januari lepas.
Kenyataan tersebut turut menyebut, bermula 20 Januari ini (esok), semua murid Tabika Perpaduan Tahun 2021 akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan medium komunikasi secara dalam talian.
“Langkah tersebut bertujuan membantu mencegah penularan wabak COVID-19 di samping memastikan sesi pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak dapat diteruskan,” menurut kenyataan kementerian tersebut.
KPM sebelum ini mengumumkan hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dibenarkan hadir ke sekolah bermula esok manakala pelajar sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai esok.
KEMAS semalam mengumumkan sesi persekolahan Tabika Kemas secara bersemuka di seluruh negara yang sepatutnya bermula esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dan akan digantikan dengan kaedah pembelajaran secara Home-base Learning (pembelajaran di rumah).