Sorting by

×

Operasi sepanjang Ramadan dipertingkat demi buru PATI pulang beraya

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LINGGI 27 April. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mempertingkatkan kawalan berterusan di Selat Melaka sepanjang Ramadan ini bagi memastikan tiada jenayah berlaku di sempadan perairan negara.

Pegawai Operasi APMM Leftenan Maritim Mohd Hafiz Ahmad berkata, perkara terbabit akan terus dilaksanakan menerusi dua rondaan berasingan dalam Operasi Murni dan Operasi Benteng dilaksanakan agensi itu.

Jelasnya, kawalan terbabit dipertingkatkan disebabkan pihaknya menerima maklumat kebanyakan pendatang tanpa izin (PATI) akan keluar dari perairan negara secara haram demi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

LEFTENAN Maritim Mohd Hafiz Ahmad. Foto: MR. Azli

“APMM akan menjalankan operasi menggunakan setiap aset bot rondaan yang ada selama 24 jam di perairan ini dan akan bekerjasama dengan pebagai agensi terlibat bagi mempertingkatkan maklumat risikan sekali gus mampu membendung jenayah yang berlaku ini.

“Malah, APMM juga turut akan bekerjasama dengan nelayan di kawasan ini yang selama ini menjadi ‘mata dan telinga’ kepada kami bagi bersama membendung kemasukan warga asing dan sebarang kegiatan penyeludupan barangan haram ke dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Op Murni dan Benteng Laut di Selat Melaka, semalam.

Terdahulu, menerusi operasi diadakan itu, sebanyak lima bot nelayan yang berada di perairan itu turut dikunjungi agensi itu bagi memantau dan menyampaikan bantuan kit makanan menerusi Program Gerak Saraf dan Ramadan Nelayan Maritim.

Ujar Mohd Hafiz, kerjasama setiap warga maritim terutama nelayan akan terus diperkasakan bagi memastikan keselamatan perairan itu terhindar dari sebarang jenayah.

“Di kesempatan ini, APMM juga menyarankan kepada nelayan dalam kawasan Melaka dan Negeri Sembilan supaya menjaga keselamatan apabila berada di laut dengan menitikberatkan pemakaian jaket keselamatan ketika bekerja.

“Kita juga berharap golongan ini peka dengan memeriksa ramalan kaji cuaca sebelum ke laut dan sekiranya menemui sebarang aktiviti mencurigakan khususnya kegiatan merentas sempadan negara kita harap mereka tampil memberikan maklumat agar tindakan segera boleh diambil APMM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

630
Kongsi :
Previous post 92 Tapir Malaya mati akibat kemalangan jalan raya sepanjang 2015-2020
Next post Neelofa, suami dan ahli keluarga dikompaun RM60,000
Ubah saiz-+=