Operasi sekolah di Melaka, Selangor, KL, Putrajaya ikut ketetapan fasa 4 PPN
Pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN bagi negeri Kedah dan Kelantan pula akan bermula pada 31 Oktober, manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah mulai 1 November.
KPM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan perubahan ketetapan pengoperasian itu adalah selaras peralihan Fasa Tiga kepada Fasa Empat PPN bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Melaka serta Fasa Dua kepada Fasa Tiga PPN bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah yang semuanya berkuat kuasa esok.
“Negeri yang beralih ke Fasa Empat PPN akan melibatkan kemasukan murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 di sekolah menengah pada 1 November.
“Sementara kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah pada 8 November, iaitu seminggu selepas negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPM, negeri Fasa Tiga PPN akan melibatkan kehadiran murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.
Kehadiran turut melibatkan pelajar Tingkatan 6 Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa lain.
KPM sebelum ini memutuskan, apabila negeri beralih ke fasa PPN yang seterusnya, semua institusi pendidikan di negeri itu hendaklah beroperasi mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa.