
OPERASI SAR DUA NELAYAN HILANG DI PERAIRAN PULAU UNDAN DITAMATKAN
TELOK MAS 20 Januari – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dua nelayan yang hilang sejak 16 Januari lalu di perairan Pulau Undan dihentikan malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, operasi itu dihentikan pada jam 7.15 malam berikutan tiada petunjuk baharu diperolehi meskipun pelbagai usaha dilakukan.
Bagaimanapun katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan terus menjalankan pemantauan dan rondaan berkala di kawasan insiden.
“Sekiranya terdapat sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan insiden, tindakan segera akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan Muarep Sakem, 63 dan awak-awak, Rosenizam Maharam, 50 keluar memukat menaiki bot gentian kaca Khamis lalu sebelum memaklumkan kepada majikan mereka enjin bot dinaiki mengalami kerosakan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Komander Maritim Norrimi Hassan ketika ditemui pihak media di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) memaklumkan, seramai 58 pegawai dan anggota bersama enam aset laut dan sebuah aset udara digerakkan sepanjang empat hari operasi pencarian.
“Kawasan pencarian kini meliputi lebih 4,357 kilometer persegi iaitu dari sempadan Muar hingga ke Tanjung Tuan, namun tiada petunjuk positif ditemui,” katanya.
Terdahulu, operasi CARILAMAT itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Adun Duyong yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem.
Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada pelabgai agensi terlibat termasuk Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta orang awal dalam membantu operasi CARILAMAT itu.
Sebarang maklumat baharu berhubung insiden ini boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.