Operasi SAR anggota komando disambung pagi ini
TELOK MAS 8 Februari – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando yang dikhuatiri lemas dalam kejadian di perairanPulau Undan, di sini, petang semalam disambung pagi ini.
Ketika kejadian, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, dari Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar, Mersing, Johor, sedang mengikuti kursus juruselam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, SAR akan disambung awal ini selepas ditangguhkan jam 7.30 malam semalam.
Katanya Maritim Malaysia turut meminta komuniti nelayan tempatan agar memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mereka menemui mangsa ketika keluar menjalankan aktiviti menangkap ikan pada waktu malam.
“SAR diaktifkan sejurus kita menerima maklumat pada jam 5.15 petang, bagaimanapun sehingga ditangguhkan tadi mangsa belum ditemukan.
“Kami juga sudah berhubung dengan pihak ibu pejabat bagi mendapatkan bantuan helikopter bagi membantu operasi SAR esok (hari ini),” katanya pada sidang media di Jeti Parameswara, Umbai.
Iskandar berkata radius SAR hari ini akan diperluaskan berbanding kira-kira 1.3 kilometer barat daya Pulau Undan dilakukan petang semalam.
“Kedalaman di perairan Pulau Undan dianggarkan kira-kira 40 meter dan apa yang diharapkan keadaan cuaca baik, sekali gus melancarkan SAR,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.