Operasi pejabat kerajaan, agensi secara hibrid, BDR dan pejabat
AYER KEROH 24 Mei – Kerajaan negeri bersetuju pengoperasian pejabat kerajaan dan agensi dilaksanakan secara hibrid melalui keberadaan di pejabat dan Bekerja Dari Rumah (BDR) mengikut kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr. Hasim Hasan berkata pendekatan itu meliputi kehadiran ke pejabat 20 peratus keseluruhan (tidak termasuk frontliner) dan 80 peratus secara BDR secara penggiliran.
“Kehadiran ke pejabat hanya bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dan memerlukan keberadaan di pejabat.
“Mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan dan perkhidmatan kaunter hanya dibuka pada perkhidmatan yang tidak ditawarkan secara atas talian dan melalui temu janji sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, bagi jabatan atau agensi kerajaan negeri pelaksanaan BDR adalah sebagaimana dijelaskan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020-Dasar Bekerja Dari Rumah.
“Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib berdasarkan peruntukan perundangan yang sedang berkuatkuasa.
“Sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 ini pegawai yang terlibat hendaklah memastikan perkhidmatan teras jabatan dan agensi berjalan seperti biasa dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan dan dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.