OPERASI KAUNTER KERAJAAN KINI LEBIH FLEKSIBEL

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Inisiatif pembukaan kaunter perkhidmatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan pada waktu rehat disambut baik rakyat Melaka kerana inisiatif itu lebih memudahkan urusan orang ramai selain fleksibel.

Tinjauan Melaka Hari Ini ke beberapa kaunter perkhidmatan termasuk Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati ramai yang datang untuk menyelesaikan urusan masing-masing sekitar jam 1 tengah hari hingga 2 petang.

Terdahulu pelaksanaan pembukaan kaunter perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan pada waktu rehat itu diumumkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, baru-baru ini.

Pelaksanaan itu bertujuan memberikan lebih keselesaan kepada rakyat yang tidak perlu lagi menunggu lama untuk menyelesaikan urusan di jabatan atau agensi berkenaan.

6332368978449644799
SIOK KIM.

Bagi Siang Siok Kim, 56, pembukaan kaunter perkhidmatan pada waktu rehat adalah inisiatif yang amat baik kerana pelanggan tidak lagi perlu membuang masa pada waktu rehat sementara menunggu kaunter dibuka semula.

“Dapat jimat masa, jadi boleh selesaikan banyak lagi urusan di jabatan atau agensi kerajaan yang lain, selain itu perkhidmatan kaunter kini bagi saya semakin cekap, amat bagus untuk rakyat.

“Tiada lagi kekangan masa untuk orang ramai berurusan di kaunter dan bertemu dengan pegawai yang terbabit, jika dulu apabila jam 1 tengah hari semua urusan perlu ditangguhkan hingga 2 petang,” katanya ketika ditemui di Wisma Perkeso Melaka, hari ini.

Terdahulu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem melakukan lawatan untuk meninjau kelancaran operasi di kaunter perkhidmatan pada waktu rehat yang berkuatkuasa hari ini.

6332368978449644797
HUEY WAH.

Sementara itu Tee Huey Wah, 47, ketika ditemui berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan secara tidak langsung menyerlahkan lagi kecekapan perkhidmatan di kaunter sektor awam Negeri Melaka.

“Apabila kaunter dibuka termasuk pada waktu rehat ia menunjukkan kakitangan awam lebih efisien, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan inisiatif ini memberikan dorongan atau motivasi kepada rakyat untuk selesaikan urusan berkaitan kerajaan lebih awal daripada tarikh akhir.

“Jika sebelum ini mungkin ada urusan yang tertangguh kerana kekangan waktu tetapi selepas ini tidak lagi kerana bila-bila masa boleh ke kaunter untuk selesaikan sebarang urusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

47
Kongsi :
Previous post PERKESO KUAT KUASA HAD SILING GAJI BAHARU UNTUK CARUMAN BERKUAT KUASA HARI INI
Next post PERKHIDMATAN KAUNTER KERAJAAN LEBIH CEKAP DAN EFISIEN
Ubah saiz-+=