‘Open day’ selesai masalah rakyat – KM
AYER KEROH 18 April – Kerajaan Negeri melaksanakan ‘open day’ pada hari Khamis setiap hujung bulan bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dikemukakan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia selaras dengan dasar utama Kerajaan Negeri yang memudahkan pemimpin dan rakyat untuk bersemuka.
“Open day ini akan dilaksanakan pada hari Khamis setiap hujung bulan khusus buat rakyat Melaka berjumpa dengan saya secara ‘walk-in’ sama ada di Pejabat saya sehingga jam 5 petang.
“Urusan ini akan diteruskan di Seri Bendahara sehingga jam 2 pagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023 bertemakan ‘Bijak Laksana Hang Tuah, Berani Laksana Hang Jebat’ di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan dan lain-lain barisan Exco Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu beliau berharap semua penjawat awam dapat memastikan khidmat kepada rakyat terus dilaksanakan dengan cemerlang.
“Penjawat awam di negeri ini yang menjadi tulang belakang penyampaian perkhidmatan kepada rakyat harus memainkan peranan signifikan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.