OP SIAGA RAYA: 150 ANGGOTA BOMBA MELAKA BERSEDIA SETIAP MASA
AYER KEROH 27 Januari – Seramai 150 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka bersiap sedia setiap masa sempena Op Siaga Raya Bomba sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, jumlah itu membabitkan kesemua 11 Balai Bomba dan Penyelamat seluruh Negeri Melaka.
Beliau berkata, sempena Op Siaga Raya itu, hanya 20 peratus daripada keseluruhan 469 anggota dan pegawai JBPM Melaka dibenarkan bercuti pada musim perayaan ini.
“Seramai 150 anggota yang sentiasa bersedia setiap masa di mana operasi ini akan berlaku sepanjang perayaan, seminggu sebelum perayaan dan seminggu selepas perayaan jadi ia akan berlaku selama dua minggu.
“JBPM Melaka sentiasa mengambil berat dan memainkan peranan apabila setiap kali musim perayaan tiba.
“Op Siap Siaga JBPM ini akan dilancarkan sebanyak tiga kali setahun ketika musim perayaan-perayaan besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Siaga Raya Bomba Sempena Tahun Baru Cina 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Peringkat Negeri Melaka di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah JBPM Melaka Penolong Persuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais turut menasihati orang ramai untuk sentiasa menjaga keselamatan harta benda dan diri apabila tibanya musim perayaan.
“Kita harap masyarakat terus cakna akan isu keselamatan ini apatah lagi pada musim perayaan ramai yang mengambil peluang untuk bercuti lama dan meninggalkan rumah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.