Op Selamat: 12 lokasi panas dikenal pasti
AYER KEROH 27 Jan – Seramai 220 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, ditugaskan sepanjang Op Selamat ke-17 sempena Tahun Baharu Cina kali kali ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, pegawai dan anggota terbabit akan melakukan pemantauan khusus di 12 lokasi panas dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.
“Pada musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini kami mahu pastikan objektif sifar kematian dapat dicapai, namun kebijaksanaan dan sikap pemantu dalam mematuhi peraturan jalan raya amat penting.
“Lokasi tumpuan kami adalah lima di Melaka Tengah, empat di Alor Gajah dan tiga lagi di Jasin,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Hadir sama, pada majlis pelancaran itu Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.
Abdul Majid, mengingatkan pengguna jalan raya khusus penunggang dan pembonceng motosikal agar lebih berhati-hati berikutan golongan itu menjadi penyumbang utama kes kemalangan maut.
“Pada tahun 2020 sebanyak 15 kematian dicatatkan dan 10 kes membabitkan motosikal, namun tahun lalu hanya satu kes membabitkan golongan itu dicatatkan.
“Tahun lalu 458 kes kemalangan direkodkan di seluruh Melaka, turun 48 peratus berbanding tahun 2020 yang mencatatkan 876 kes,” katanya.
Beliau berkata, lebih 130,000 pelancong akan memasuki Melaka sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina bermula minggu hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.