Sorting by

×

OP PANTAU 2025 : KPDN MELAKA PERIKSA 1,335 PREMIS

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 24 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka melaksanakan sebanyak 1,335 pemeriksaan terhadap premis perniagaan menerusi OPS Pantau 2025 bermula 2 Mac 2025 hingga semalam.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, hasil pemeriksaan sebanyak tiga kes dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM900 atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga.

“Kita terima sebanyak 92 aduan sepanjang tempoh sama, bagaimanapun terdapat satu lagi kes melibatkan pelanggaran mengikut Akta Perlindungan Pengguna dan masih dalam siasatan.

“Aduan yang diterima ini termasuk hasil pemeriksaan kami di bazar Ramadan, kedai runcit, pasaraya dan lain-lain premis perniagaan sekitar negeri ini.

“Menerusi operasi berkenaan kami mendapati pemilik premis gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan mereka,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 di sebuah pasaraya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi@Mohd Hasim dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Melaka Rohaimi Mohammed Zawawi.

Mengulas lanjut Allex Seah, menegaskan bahawa KPDN Melaka akan terus mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pengguna mendapat hak mereka.

“Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan tidak beretika oleh peniaga, orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan boleh menyalurkan maklumat kepada KPDN Melaka melalui saluran rasmi bagi tindakan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3518
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI SAMPAIKAN SUMBANGAN AIDILFITRI KEPADA  260 PENGUSAHA BECA
Next post AIDILFITRI: HARGA 23 BARANGAN DIKAWAL DI MELAKA