Sorting by

×

Op Pagar Laut: APMM hasilkan 32 tangkapan

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PUTRAJAYA, 29 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melakukan 32 tangkapan atas pelbagai kesalahan menerusi pelaksanaan Op Pagar Laut yang bemula 19 April lepas dan mengumpul hasil tangkapan kira-kira RM10.6 juta.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata kes terbesar dalam operasi itu setakat ini adalah penahanan tujuh bot nelayan asing Vietnam di beberapa lokasi perairan dalam negara.

Dua bot ditahan di perairan Terengganu pada Rabu lepas dan satu bot ditahan semalam di perairan sama serta masing-masing dua bot ditahan di perairan Kelantan dan perairan Mersing, Johor pada 22 April lepas, katanya.

Seramai 66 kru warganegara Vietnam turut ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM10.5 juta, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zubil berkata selain tangkapan bot nelayan asing, APMM turut berjaya menggagalkan penyeludupan kontraban dan barang kawalan melibatkan lima kes dengan nilai rampasan dianggarkan RM78,755.

Beliau berkata satu tangkapan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 telah dilakukan di perairan Kelantan semalam melibatkan kes menyeludup 21 bungkus mercun bernilai kira-kira RM20,000 dan satu kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan rampasan dua plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 45 gram dianggar bernilai RM2,475, di perairan Labuan.

Menurut Mohd Zubil, di bawah Akta Kastam 1967, satu kes rampasan rokok di perairan Semporna, Sabah dilakukan pada Selasa lepas (26 April) membabitkan 180 karton rokok putih jenama L3 dan 200 karton rokok jenama Astro Hijau dengan keseluruhan rampasan bernilai RM45,000.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 pula, satu kes melibatkan rampasan 100 liter petrol di perairan Sandakan bernilai RM205 pada 22 April lepas dan satu kes melibatkan rampasan 1,070 minyak masak peket satu kilogram dengan nilai rampasan RM11,075 di perairan Semporna pada hari sama, katanya.

Mohd Zubil berkata seramai 16 pendatang tanpa izin yang terdiri daripada empat warga Indonesia, empat warga Myanmar dan lapan warga Kemboja telah ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit perjalanan yang sah.

“Maritim Malaysia akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi pada musim perayaan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1551
Kongsi :
Previous post Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya pada 30 April hingga 2 Mei, 7 dan 8 Mei – JPJ Melaka
Next post Pemilik premis disaran semak status risiko COVID-19 pengunjung
Ubah saiz-+=