Op Kesan: Perkeso keluar 1,124 kompaun ke atas majikan
TAPAH, 12 Jun – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengeluarkan 1,124 kompaun ke atas majikan kerana gagal mencarum pekerja mereka hasil 5,579 pemeriksaan menerusi Op Kesan sejak ia dilancarkan Rabu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata daripada jumlah itu, 833 kompaun dikeluarkan berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) manakala 291 mengikut Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
“Sebanyak lapan arahan pematuhan turut dikeluarkan dan daripada jumlah keseluruhan itu, didapati hampir 20 peratus majikan yang dilawati masih belum mendaftar dan mencarum pekerja mereka.
“Jadi, kita akan meningkatkan usaha dan menggembleng tenaga di seluruh negara untuk melawat majikan dan memastikan mereka mendaftar dan mencarum demi kebajikan pekerja,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Perak yang dirasmikan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan di Kompleks Belia dan Sukan Tapah di sini hari ini.
Mohammed Azman berkata sektor paling banyak dikenal pasti gagal mencarum pekerja adalah sektor perkhidmatan dan perniagaan runcit.
“Kita (Perkeso) akan memberi tumpuan kepada dua sektor ini untuk menjaga kebajikan pekerja sendiri dan keluarga mereka,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.