One Medic miliki enam cawangan klinik di Melaka
AYER KEROH 9 Mei – Bermula dengan hanya membuka sebuah klinik di Bukit Beruang pada tahun 2016, kini Klinik Keluarga One medic mempunyai enam cawangan yang mampu memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di negeri ini.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zariff Mohd Yusoff berkata, fokus utamanya pada awal pembukaan cawangan pertama di Bukit Beruang adalah untuk berbakti dan membantu penduduk setempat di kawasan itu.
“Namun hasil sokongan penduduk di situ yang setia mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik kami, Alhamdulillah kita dapat memperluaskan klinik ini di kawasan lain.
“Setakat ini Klinik Keluarga One medic telah ada di Tangga Batu, Jasin, Bachang, Duyong dan Alor Gajah, Insya-Allah jika berkesempatan kita akan membuka cawangan klinik ini di Negeri Sembilan atau Johor Bharu.
“Tapi apa yang kami fokuskan adalah penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan setia kami dan bukannya kuantiti (jumlah) klinik yang dibuka, kami mahu pastikan semua pelanggan yang datang ke klinik berpuas hati dengan servis diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas Majlis Berbuka Puasa One Medic Health Care Sdn Bhd di Hotel Ames di sini, baru-baru ini.
Katanya, tidak hanya memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan kepada pelanggan, malah One Medic turut aktif melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk komuniti.
“Ada banyak program CSR yang kita lakukan khususnya semasa wabak pandemik COVID-19 melanda negara, kita ada hantar sumbangan kepada masyarakat setempat selain sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana banjir.
“Sebenarnya tujuan utama kita beri sumbangan itu hanya untuk menceriakan mereka, biarkan kadang-kadang dalam kuantiti yang sedikit tapi boleh membantu menggembirakan mereka.
“Ini salah satu tanggungjawab dan sikap mesra kakitangan One Medic yang mendorong pelanggan untuk terus mendapatkan perkhidmatan di klinik,” katanya.
Ahmad Zariff berharap supaya masyarakat atau komuniti terus menyokong One Medic bagi memastikan segala perkhidmatan disampaikan dapat diberikan dengan terbaik.
“Kita harap semua yang bersama dengan kita terus menyokong, jika ada salah silap kita akan perbaiki, tapi yang penting semagat kita kena sentiasa kuat.
“Marlah kita bersama membantu masyarakat setempat. Kita akan cuba bantu sebaik mungkin, alhamdulillah setakat ini sambutan dan respon pelanggan sangat menggalakkan,” katanya.
Hadir sama Pengarah Urusan One Medic, Datuk Seri Dr Yugaraj Raju.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.