Olimpik 2020: Shah Firdaus dikejarkan ke hospital

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PELUMBA basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terlibat dalam kemalangan ketika saringan acara keirin di Velodrom Izu, dikejarkan ke Hospital Universiti Juntendo di Shizouka.

Pelumba kelahiran Muar, Johor itu terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua acara berkenaan, setelah berlanggar dengan Jack Carlin dari Great Britain, yang memenangi pingat gangsa acara pecut semalam.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata Muhammad Shah Firdaus dikejarkan ke hospital berkenaan setelah pasukan perubatan penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 mendapati tahap oksigen pelumba berusia 25 tahun itu rendah.

“Setelah terbabit dalam kemalangan semasa perlumbaan saringan, Shah Firdaus mengadu sakit di bahagian tulang rusuk kiri, namun beliau mahu juga berlumba di pusingan repechages,” katanya ketika dihubungi di sini.

Amarjit, yang berada di Shizouka, kira-kira 175km dari bandar raya ini, bagaimanapun berkata pada masa ini, pasukan perubatan di hospital berkenaan masih menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas Muhammad Shah Firdaus.

“Buat masa ini, kita belum tahu keadaan Shah Firdaus,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus, yang terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua acara keirin, bangkit menampilkan kayuhan bertenaga untuk mara ke peringkat suku akhir selepas menduduki tempat kedua dalam Saingan Satu pusingan pertama repechages di belakang Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba berumur 25 tahun itu melakar perkembangan membanggakan dalam penampilan sulungnya dalam acara keirin Olimpik, terutama apabila beliau ‘terselamat’ di Saringan Dua pusingan pertama selepas berlanggar dengan Carlin.

Kemalangan itu turut menyaksikan Muhammad Shah Firdaus mengalami kecederaan bahu kiri akibat perlanggaran dan terpaksa menarik diri daripada perlumbaan yang dimulakan semula, dan mengharungi cabaran dalam saingan repechages.

Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang turut mara ke suku akhir selepas menamatkan saringan ketiga pusingan pertama acara keirin lelaki di kedudukan pertama.

Dalam saingan suku akhir esok, Azizulhasni berada dalam Saringan Tiga bersama Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi.

Sementara, Muhammad Shah Firdaus akan bersaing dengan Carlin di Saringan Dua bersama Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Suriname) dan Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post PKPD di 14 lokaliti babitkan Pahang, Sabah
Next post Melaka antara lima negeri terlibat program vaksinasi anjuran Majlis Getah Malaysia
Ubah saiz-+=