OKU semangat kibar Jalur Gemilang
TANJUNG BIDARA 3 Ogos – Ketidaksempurnaan kaki kiri bukanlah faktor menyekat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) untuk mempamerkan patriotisme tinggi menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Meskipun agak sukar melangkah berikutan kaki kiri tidak sempurna akibat kemalangan jalan raya, Roshizad Othman, 50, tetap bersemangat membantu memasang bendera Malaysia pada perahu nelayan di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini, hari ini.
Roshizad berkata, dia tidak mahu menjadikan kekurangannya itu sebagai penghalang untuk bersama-rama rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bukti kecintaannya pada kemakmuran tanah air.
“Saya amat tertarik dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ kerana ia adalah cerminan perpaduan negara.
“Kita di sini hidup aman dan selesa berbanding rakyat negara lain yang terpaksa bergelut dengan perang, kemiskinan dan seumpamanya,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.
Dia berkata, sejak terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2017, dia tidak mampu membuat kerja kampung seperti bertukang, mengambil upah membersihkan kebun dan seumpamanya.
“Saya dilanggar kereta ketika menunggang motosikal di Jalan Hang Tuah, Bandar Melaka yang menyebabkan kaki kiri saya dimasukkan besi dan sejak itu saya hilang upaya untuk bekerja.
“Isteri bekerja sebagai pembantu kedai makan dan bagi menampung kos sara hidup, saya menjual kuih pau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.